The Last Overland Tiba di Thailand
Pasukan The Last Overland dengan jentera ‘Oxford’ Land Rover 1955 telah tiba di Thailand setelah memulakan perjalanan dari Singapura merentasi Malaysia pada 25 Ogos lalu.
Kenderaan pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran SNX 891 itu sebelum ini pernah melengkapkan ekspedisi dari London ke Singapura pada tahun 1955 dalam satu pengembaraan yang dikenali dengan jolokan The First Overland. Ia kini dalam ekspedisi dalam arah terbalik iaitu dari Singapura ke London.
Pasukan The Last Overland itu telah merentasi jalan dari Hat Yai ke Surat Thani, diikuti dengan Hua Hin dan Bangkok. Ia kemudiannya singgah di Kelab Sukan Diraja Bangkok, yang turut menjadi tempat persinggahan The First Overland pada 1955.
Hadir pada acara tersebut adalah ahli Kedutaan British, ahli-ahli kelab pemilik Land Rover, pihak Jaguar Land Rover Thailand serta wakil media.
Antara 1955 dan 1956, sepasukan yang terdiri daripada enam pemuda memulakan ekspedisi The Oxford & Cambridge Far Eastern Expedition (The First Overland) dan mencatat sejarah apabila berjaya mengharungi perjalanan sejauh 10,000 batu (16,093 km) dari London ke Singapura.
Kini, 64 tahun kemudian, pasukan yang dianggotai oleh lapan orang termasuk Alex Bescoby, pembikin filem yang pernah memenangi anugerah dan pengasas bersama Grammar Productions, serta Nat George, cucu kepada Tim Slessor (ahli The First Overland) akan memandu ‘Oxford’ Land Rover Series I untuk menjejaki semula ekspedisi darat pertama itu.
Seperti sebelum ini, ekspedisi The Last Overland akan membawa mereka merentasi Malaysia, Myanmar, pergunungan Himalaya dan Utara Turki, gurun Timur Tengah serta lebih 20 negara termasuk Nepal, China, Uzbekistan, Iran dan Bulgaria. Pasukan itu dijangka tiba di London dalam tempoh 100 hari selepas bertolak dari Singapura.
No Comment