Toyota GR Supra Masuk Pasaran Malaysia – RM568k
Kereta sport yang ditunggu-tunggu iaitu Toyota GR Supra (A90) akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. UMW Toyota sebagai pengedar rasmi jenama Toyoto di negara ini menawarkan GR Supra dalam spesifikasi tunggal GTS, dengan harga bermula dari RM568,000.
Ini bermakna pelanggan mendapat enjin B58 3.0-liter enam-silinder turbo yang menjana 340 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Kuasa dipacu ke gandar belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.
Dengan bantuan ciri Launch Control, model generasi kelima ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j yang dihadkan secara elektronik. Dua mod pemanduan disediakan iaitu Normal dan Sport.
Dari segi pengendalian, ciri dinamik jentera ini dipertingkatkan dengan kehadiran sistem gantungan adaptif boleh ubah dan Limited Slip Differential (LSD) yang dikawal secara elektronik. Pengagihan berat 50:50 turut membantu.
GR Supra ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Matte Storm Grey Metallic, Black Metallic dan Ice Grey Metallic. Rim 19 inci didatangkan secara standard.
Kelengkapan standard lain termasuklah upholsteri kulit, pendingin hawa dua zon, Keyless Smart Entry, Head-up Display, kerusi sport dengan pelarasan elektrik dan sokongan lumbar, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio JBL dengan 12 pembesar suara.
Serentak dengan pelancaran model ini, Naib Pengerusi UMW Toyota Akio Takeyama turut mengumumkan pembukaan GR Garage di mana produk-produk GR seperti GR Supra, alat ganti prestasi dan barangan rasmi akan dijual.
GR Garage akan dibuka di lima wakil pengedar Toyota terpilih iaitu tiga di Lembah Klang, satu di kawasan Utara dan satu lagi di kawasan Selatan. Konsep ini telah diperkenalkan di Jepun beberapa tahun lalu dan Malaysia merupakan pasaran pertama di luar Jepun yang menawarkannya kepada pelanggan.
No Comment