Volvo Lancar Pusat 3S Baharu di Mutiara Damansara
Volvo Car Malaysia secara rasminya melancarkan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) baharu di Mutiara Damansara, sekaligus mengukuhkan kehadiran jenama itu di sekitar kawasan tersebut.
Syarikat itu kini sedang fokus untuk mengembangkan rangkaian runcitnya, sejajar dengan strategi transformasi baharunya. Setakat ini, ia mempunyai 12 bilik pameran di seluruh di seluruh Malaysia dengan tiga lagi lokasi dijangka dibuka dalam tahun ini. Perkembangan ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan jualannya.
“Dalam segmen premium, produk bukanlah satu-satunya faktor dalam keputusan pembelian pengguna. Apa yang sama penting adalah nilai, kualiti dan akses kepada servis yang mereka boleh nikmati sepanjang bersama dengan jenama itu,” kata Nalin Jain, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.
Menurut Volvo Car Malaysia, prestasi separuh pertama 2019 sangat menggalakkan dengan pertumbuhan lebih 60 peratus dicatatkan. Syarikat itu menjangkakan pertumbuhan positif yang berterusan hingga ke suku terakhir tahun ini dengan sokongan produk-produk baharu yang akan diperkenalkan kelak.
Dioperasikan oleh rakan pengedar Swede Automobile Sdn Bhd (Ingress Swede), pusat 3S ini menempatkan sebuah bilik pameran dan pusat servis yang dibina mengikut piawaian runcit Volvo Retail Experience (VRE) yang menampilkan ciri-ciri dan warisan Skandinavia.
Ia dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, dari Isnin hingga Sabut, dan dari 10 pagi hingga 4 petang pada Ahad dan cuti umum.
No Comment