Audi Q3 Serba Baharu Kini di Malaysia – RM270k
Audi Q3 generasi kedua telah dilancarkan di Malaysia untuk bersaing di dalam segmen SUV kompak premium.
Q3 baharu tampil lebih sporty berbanding model sebelum ini dengan adanya jeriji Singleframe berbentuk oktagon dengan bar menegak, serta lubang inlet udara yang besar.
Untuk pasaran Malaysia, lampu hadapan adalah LED sepenuhnya manakala lampu belakang juga LED lengkap dengan lampu membelok dinamik.
Bahagian dalaman menampilkan rekaan yang tidak jauh berbeza dengan model-model Audi yang lebih besar. Elemen utamanya adalah paparan sentuh MMI yang dihadapkan kea arah pemandu.
Semua paparan, butang dan tombol kawalan diletakkan secara ergonomik. Gabungan tempat duduk dan stereng pula melahirkan posisi pemanduan yang sporty.
Jika dibandingkan dengan model terdahulu, Q3 datang dalam saiz yang lebih besar. Ia mempunyai ukuran 4,484 mm panjang, 1,849 mm lebar dan 1,585 mm tinggi, manakala jarak roda lebih panjang sebanyak 77 mm. Tempat duduk belakang boleh ditolak ke hadapan dan belakang sebanyak 150 mm.
Selain itu, tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40 dalam tujuh peringkat. Bergantung pada posisi kerusi belakang, kapasiti ruang bagasi Q3 adalah antara 530 dan 1,525 liter. Tailgate elektrik disertakan secara standard.
Turut disertakan bagi model spesifikasi Malaysia adalah kokpit virtual Audi berukuran 12.3 inci dan sistem navigasi MMI dengan skrin sentuh 10.1 inci berserta ciri Apple CarPlay dan Android Auto.
Q3 tampil dengan enjin petrol 1.4 TFSI dengan 150 hp dan transmisi S-tronic enam kelajuan. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 207 km/j. Tahap penggunaan bahan api adalah 7.2 liter bagi setiap 100 km.
Dipasang di Győr, Hungary, Audi Q3 ditawarkan pada harga RM269,900. Dari 2 hingga 10 November, pelanggan yang membeli mana-mana model Audi akan layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah berikut:
- Hadiah pertama – Pengalaman memandu Audi di Jerman bernilai RM40,000
- Hadiah kedua – Baucar membeli-belah untuk alat ganti tulen Audi bernilai RM5,000
- Hadiah ketiga – Universal Traffic Recorder bernilai RM2,500
No Comment