BMW 2 Series Gran Coupe Hadir Sebagai Pencabar CLA
BMW 2 Series Gran Coupe telah didedahkan secara rasmi. Pencabar utama Mercedes-Benz CLA ini dijadualkan membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2019 pada bulan hadapan sebelum memasuki pasaran pada Mac 2020.
Seperti model-model Gran Coupe yang lain, 2 Series Gran Coupe tampil sebagai coupe empat pintu dan bagi model ini, ia mempunyai ukuran 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi.
Walaupun mempunyai garis bumbung yang agak rendah, penumpang masih mampu menikmati ruang kabin yang luas terima kasih kepada jarak roda berukuran 2,670 mm. Malah, ruang but 430 liter juga boleh diperbesarkan dalam pelbagai cara.
2 Series Gran Coupe menggunakan platform pacuan roda hadapan UKL yang turut digunakan oleh 1 Series, maka tidak hairanlah ia mempunyai ‘wajah’ yang hampir serupa dengan hatchback tersebut. Di belakang pula, lampu berbentuk langsing membuatkan ia kelihatan seperti 8 Series.
Bahagian dalaman tidak ubah seperti model-model semasa BMW, dengan kehadiran panel instrumen digital BMW Live Cockpit Professional dengan sistem operasi 7.0, paparan ‘head-up, kawalan isyarat tangan, bantuan mengundur, kunci digital dan sebagainya.
Model ini akan memasuki pasaran dengan satu enjin diesel dan dua enjin petrol. Varian 218i menampilkan enjin petrol tiga silinder dengan 140 hp manakala varian 220d pula mempunyai enjin diesel empat silinder dengan 190 hp. Varian 228i xDrive dengan enjin petrol empat silinder 231 hp turut ditawarkan tetapi untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja.
Varian tertinggi adalah M235i xDrive yang mempunyai 306 hp dan 450 Nm. Selain mempunyai enjin lebih berkuasa, ia juga dilengkapi dengan Limited-Slip Differential Torsen, serta stereng dan brek M Sport.
Bagi aspek bantuan pemandu, Lane Departure Warning, Active Cruise Control,Driving Assistant termasuk Lane Change Warning, Rear Collision Warning dan Crossing Traffic Warning adalah antara ciri-ciri yang disertakan.
No Comment