Ford Mustang R-Spec Jana Kuasa Dengan Supercharger
Peminat Mustang di Australia kini boleh mendapatkan Mustang R-Spec yang dihasilkan untuk pasaran negara itu . Terhad kepada 500 unit sahaja, ia merupakan hasil kerjasama antara Ford dan Herrod Performance yang merupakan pembekal alat ganti Ford Performance terbesar di luar Amerika Utara.
Kelebihan utama Mustang R-Spec berbanding versi standard adalah ia dilengkapi dengan supercharger berkapasiti 2.65 liter dengan boost mencecah 12 psi. Walaupun Ford Australia tidak menyatakan jumlah kuasa yang dihasilkan, kit naik taraf sama yang turut ditawarkan di Amerika Syarikat menyaksikan kuasa meningkat kepada 700 hp dan 830 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan, satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan untuk model ini. Intercooler aluminium dan radiator ‘full-face’ turut disertakan untuk penyejukan tambahan.
Selain itu, jentera ini turut mendapat gegelung Ford Performance yang mengurangkan ketinggian sebanyak 20 mm apabila dipadankan dengan peredam adaptif MagnaRide. Bar penstabil juga lebih besar sebanyak 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang.
Turut membantu aspek pengendalian adalah rim 19 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S berukuran 255/40 di hadapan dan 275/40 di belakang.
Dari segi penampilan, Mustang R-Spec tampil dengan bampar baharu dengan lubang ambilan udara yang lebih besar serta kemasan hitam di sekeliling lampu nyalaan siang, di samping jalur pada bahagian tengah dan sisi, dan juga cat hitam berkilat pada spoiler belakang dan cermin sisi.
Boleh didapati bermula awal tahun hadapan, Mustang R-Spec dijual pada harga AUD99,980 (RM282,864).
No Comment