Hyundai Pamer Potensi ‘Aftermarket’ Veloster N Performance Concept di SEMA
Hyundai bakal memperkenalkan sebuah kereta konsep yang dikenali sebagai Veloster N Performance Concept pada acara SEMA 2019 pada bulan hadapan.
Apa yang menjadikan ‘hot hatch’ ini unik adalah penggunaan pelbagai komponen OEM yang bukan sahaja memberikan gaya lebih sporty, malah meningkatkan prestasi dinamiknya.
Bermula dari bahagian luaran, Veloster N Performance Concept tampil lebih menonjol jika dibandingkan dengan model standard dengan kit badan keluaran KWA yang merangkumi hud custom, splitter hadapan, skirt sisi, spoiler belakang serta diffuser.
Rim racing OZ berukuran 19 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero Corsa bersaiz 235/35 menjadi pelengkap imej lebih agresif jentera ini.
Suasana ruang dalaman turut diperhebatkan menerusi upholsteri Alcantara, kerusi karbon Sabelt dan tombol gear aluminium. Turut disertakan adalah karpet lantai sport, pelindung ambang pintu jenama N dan butang penghidup enjin berwarna merah.
Selain daripada sistem ekzos Capristo, kereta konsep ini nampaknya tidak menampilkan sebarang penambahbaikan teknikal yang lain. Ia mungkin menggunakan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 275 hp yang sama seperti Veloster N Performance Package.
Bagaimanapun, penambahbaikan pada casis dilihat agak menyeluruh dengan kehadiran suspensi coilover Extreme Racing dengan pegas gegelung H&R, anti-roll bar Daewon Steel, serta pendakap casis WIF.
Bagi sistem brek pula, Veloster N Performance Concept dilengkapi dengan cakera berukuran 380 mm di hadapan dan 360 mm di belakang, dengan angkup Alcon.
No Comment