Kawasaki ZX-25R Kembalikan Enjin 250cc Empat Silinder
Walaupun didominasi oleh pengeluar-pengeluar kereta dari seluruh dunia, Tokyo Motor Show turut menjadi platform bagi jenama-jenama motosikal dari Jepun untuk memperkenalkan produk terbaru mereka.
Sebagai contoh, Kawasaki telah memperkenalkan model 250 cc empat silinder terbarunya iaitu Ninja ZX-25R. Kali terakhir Kawasaki menawarkan motosikal dengan enjin seumpamanya adalah lebih 30 tahun lalu melalui ZX250R.
Model terbaru ini didatangkan dengan enjin DOHC berkapasiti 249 cc, empat silinder sebaris dengan 16 injap. Kawasaki masih belum mendedahkan spesifikasi enjin ini, namun banyak laporan mengatakan ia mungkin menjadi motosikal 250 cc paling berkuasa setakat ini.
Selain itu, ZX-25R juga dilengkapi dengan pelbagai komponen elektronik yang biasanya terdapat pada model berkapasiti lebih tinggi. Antaranya adalah Traction Control, Quickshifter dan juga Power Mode.
ZX-25R dibina dengan casis trellis yang dipadankan dengan fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) dan suspensi Horizontal Back-Link di belakang. Kuasa membrek pula datang dari angkup monobloc radial dengan cakera hadapan dan belakang.
No Comment