Kia K5/Optima Bakal Hadir Dengan Reka Bentuk Lebih Seksi
Apa yang anda lihat ini bukanlah lakaran kenderaan futuristik dari mana-mana filem sains fiksyen, sebaliknya ia adalah ‘teaser’ Kia K5 (turut dikenali sebagai Optima) generasi baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Walaupun tidak begitu jelas, lakaran ini menunjukkan bahawa sedan itu bakal tampil dengan bentuk badan yang lebih anggun jika dibandingkan dengan model semasa.
Pada bahagian hadapan, anda boleh lihat kehadiran trademark Kia iaitu jeriji ‘hidung harimau’ yang bersepadu dengan rekaan hud yang berlekuk. Lampu hadapannya pula tampil lebih nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk ‘V’ yang menyerlah.
Mungkin elemen yang paling menarik di sini adalah bentuk bumbung K5 yang leper dan rendah yang membuatkannya kelihatan lebih seperti sebuah coupe daripada sedan.
Dari sudut belakang pula, model ini jelas mempunyai bonet yang sedikit melengkung dan pendek. Ia dipadankan dengan lampu panjang yang mempunyai grafik LED yang menarik.
Ruang dalaman K5 juga kelihatan lebih canggih dan moden dengan kehadiran kluster instrumen digital dan skrin infotainmen yang lebar di atas papan pemuk. Ini mengingatkan penulis tentang sebuah pengeluar dari Jerman yang menggunakan susun atur yang lebih kurang sama.
Selain stereng baharu, K5 juga dilihat mempunyai dial gear bulat yang menggantikan tombol gear konvensional sebelum ini. Secara tidak langsung, ruang konsol tengah menjadi lebih bersih dan kemas.
No Comment