Mazda CX-5 2.5T AWD Lancar di Malaysia
Seperti yang dijanjikan, Bermaz Motor akhirnya melancarkan Mazda CX-5 2.5T AWD sebagai varian terbaru dan tertinggi dalam barisan CX-5.
Syarikat itu tidak mendedahkan harga rasmi SUV berkuasa turbo ini, namun menurut laporan kami sebelum ini ia dianggarkan berharga RM176,000.
Varian ini dipacu oleh enjin turbo Skyactiv-G 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm dari serendah 2,000 rpm. Dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda AWD, CX-5 2.5T mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.7 saat.
Ia bukanlah satu rahsia bahawa enjin tersebut mempunyai nisbah mampatan paling tinggi bagi enjin turbo empat silinder iaitu 10.5:1. Ini dicapai menerusi penggunaan teknologi Skyactiv seperti suntikan pelbagai lubang, Dynamic Pressure Turbo dan penyejukan EGR (Exhaust Gas Recirculation).
Dari segi kelengkapan, CX-5 2.5T mendapat paparan head-up berwarna, panel kawalan pendingin hawa baharu serta skrin infotainmen Mazda Connect berukuran tujuh inci yang kini menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) secara standard.
Model ini dipasang secara tempatan di kilang pemasangan Mazda di Kulim, Kedah. Ia didatangkan dengan waranti lima tahun dan pakej penyelenggaraan percuma lima tahun.
No Comment