Mazda MX-30 – Crossover Elektrik dengan Pintu RX-8
Pertunjukan Tokyo Motor Show 2019 menyaksikan kemunculan kenderaan elektrik pertama Mazda iaitu MX-30. Ia merupakan model generasi baru ketiga bagi jenama itu selepas Mazda3 dan CX-30.
Walaupun hadir sebagai sebuah crossover, model ini menggunakan nama awalan ‘MX’ (seperti MX-5) dan bukannya ‘CX’ seperti yang digunakan oleh SUV keluaran Mazda yang lain.
MX-30 tampil dengan reka bentuk luaran berinspirasikan ‘Kodo’ tetapi dengan gaya lebih moden dengan garis bumbung berwarna kelabu dan kemasan hitam di sekeliling badan.
Bukan itu sahaja, model ini juga hadir dengan pintu ala RX-8 yang membolehkan penumpang belakang keluar dan masuk dengan lebih mudah. Mazda menggelarkan pintu ini sebagai ‘pintu gaya bebas’ (freestyle doors).
Bahagian dalaman MX-30 pula kaya dengan material mesra alam. Sebagai contoh, konsol tengah diperbuat daripada gabus manakala tempat duduk dibalut fabrik kitar semula. Papan pemuka dan konsol tengah direka bagi mewujudkan suasana kabin yang luas.
Model ini dikuasakan oleh teknologi pacuan elektrik yang dikenali sebagai e-Skyactiv. Ia melibatkan sebuah motor elektrik dengan 143 hp dan bateri berkapasiti 35.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 210 km.
Dari segi keselamatan, MX-30 dilengkapi dengan ciri i-Activesense yang kini merangkumi Smart Brake Support. Pek bateri juga dikelilingi oleh struktur khas sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan.
No Comment