Mercedes-AMG GT C dan GT R Facelift Masuk Pasaran Malaysia
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan dua model sports coupe iaitu Mercedes-AMG GT C dan GT R baharu versi facelift. Kedua-dua model telah ditambah baik dari segi teknologi dan prestasi, sekaligus menjadikannya lebih pantas dan lincah berbanding sebelum ini.
Diposisikan antara GT S dan GT R, GT C dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menjana 557 hp pada 6,750 rpm dan 680 Nm dari 2,100 hingga 5,500 rpm. Dengan transmisi AMG Speedshift DCT 7 kelajuan, ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 317 km/j.
Sementara itu, GT R tampil dengan gabungan enjin dan transmisi yang sama namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 585 hp pada 6,250 rpm dan 700 Nm dari 2,100 hingga 5,500 rpm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 318 km/j.
Kedua-dua model didatangkan dengan sistem gantungan AMG Ride Control yang sama tetapi bagi sistem brek, GT R mempunyai kelebihan terima kasih kepada cakera seramik komposit. Rim pula didatangkan dalam saiz 19 inci (hadapan) dan 20 inci (belakang) masing-masing dengan rekaan berbeza.
Selain reka bentuk luaran yang lebih segar, GT R dan GT C turut mendapat beberapa kelengkapan terbaru di dalam kabin. Antaranya adalah instrumen digital berukuran 12.3 inci dan paparan multimedia 10.25 inci pada konsol tengah. Instrumen digital tersebut mempunyai tiga gaya paparan iaitu Classic, Sporty dan Supersport.
Konsol tengah juga menerima sentuhan segar di mana barisan tombol kawalan pada versi sebelum ini digantikan dengan butang-butang TFT yang memaparkan simbol-simbol intuitif bagi menunjukkan fungsi setiap butang.
Satu lagi komponen baharu adalah roda stereng, yang kini tampil dengan dua butang kawalan pada sebelah kiri dan kanan. Di dalam GT R, stereng ini disaluti kemasan Dinamica microfiber manakala di dalam GT C, ia menampilkan gabungan kulit nappa dan Dinamica.
Kali ini, GT R turut ditawarkan dengan AMG Track Package yang merangkumi, kerusi ‘bucket’, sistem perlindungan ‘roll over’, abah-abah keselamatan empat poin untuk kerusi pemandu dan pemadam api 2 kg. Sistem ini dikatakan dapat meningkatkan ketegaran casis sekaligus memberikan impak positif kepada dinamik pemanduan.
Turut ditawarkan adalah AMG Track Pace yang berfungsi untuk mengumpul dan menganalisa lebih 80 perkara berkaitan pemanduan di litar lumba seperti pecutan, pergerakan pedal pendikit dan brek, sudut pusingan stereng dan sebagainya.
Harga bagi jentera-jentera ini bermula dari RM1,558,888 bagi GT C dan RM1,712,888 bagi GT R.
No Comment