Pandu Uji Ringkas – Mazda CX-8 SkyActiv-G 2WD Mid
Segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dilihat terus berkembang dan pada kadar semasa, tidak mustahil kenderaan jenis ini akan terus menjadi pilihan utama pembeli untuk bertahun-tahun yang akan datang.
Sebagai respon kepada permintaan pasaran, Bermaz Motor selaku pengedar rasmi Mazda di Malaysia baru-baru ini melancarkan SUV tiga baris tempat duduk iaitu Mazda CX-8 baharu yang diposisikan antara CX-5 dan CX-9.
Didatangkan dalam versi CKD yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, CX-8 ditawarkan dalam empat varian iaitu Skyactiv-G 2WD Mid, Skyactiv-G 2WD Mid Plus, Skyactiv-G 2WD High dan Skyactiv-D AWD High.
Ketika majlis pelancarannya yang berlangsung pada awal bulan ini, penulis diberi peluang untuk menguji CX-8 varian Skyactiv-G 2WD Mid secara ringkas di sekitar kawasan perkilangan tersebut.
Model ini menampilkan tiga konfigurasi tempat duduk yang berbeza. Varian asas Skyactiv-G 2WD Mid menampilkan tujuh tempat duduk (2-3-2), manakala Skyactiv-G 2WD Mid Plus mempunyai enam tempat duduk (2-2-2) dengan tempat duduk kapten pada barisan kedua.
Sementara itu, dua varian teratas iaitu Skyactiv-G 2WD High dan Skyactiv-D AWD High turut hadir dengan enam tempat duduk tetapi dengan kedua-duanya mempunyai konsol tengah pada barisan kedua.
Dari segi saiz, CX-8 sebenarnya lebih panjang dan tinggi berbanding CX-5 dengan ukuran 4,900 mm panjang dan 1,730 m tinggi. Kedua-dua model ini mempunyai ukuran yang lebar yang sama iaitu 1,840 mm tetapi sebagai SUV tiga baris tempat duduk, CX-8 mempunyai jarak roda lebih panjang iaitu 2,930 mm, sama dengan CX-9.
Penggunaan bahasa reka bentuk Kodo membuatkan CX-8 kelihatan sama sahaja seperti SUV keluaran Mazda yang lain. Ia bukanlah sesuatu yang tidak bagus kerana seperti yang kita tahu, rekaan Kodo memang tampan tetapi bagi penulis, lebih elok jika setiap model mempunyai ciri unik yang boleh dijadikan sebagai identiti masing-masing.
Sama juga ceritanya di dalam kabin, di mana CX-8 tampil dengan rekaan papan pemuka, konsol tengah dan kluster instrumen yang diambil daripada CX-5 versi terdahulu. Biar pun begitu, anda masih mendapat banyak kelengkapan standard seperti butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, stereng multifungsi, fungsi pelarasan kuasa bagi kerusi pemandu dan sistem pendingin hawa tiga zon dengan corong belakang.
Dari segi infotainmen, varian asas ini tampil dengan sistem yang sama dengan varian lain iaitu sistem MZD Connect dengan skrin sentuh berukuran tujuh inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta enam pembesar suara.
Apa yang paling menonjol tentang kabin CX-8 adalah usaha Mazda untuk menjadikan ruang ini seselesa mungkin untuk kesemua penumpang. Sebagai contoh, sudut bukaan pintu belakang adalah antara yang paling luas dalam segmennya iaitu 80 darjah. Ini bukan sahaja memudahkan penumpang barisan ketiga keluar dan masuk, malah kerusi kanak-kanak juga boleh dipasang atau dicabut dengan cepat.
Menurut Mazda, barisan tempat ketiga direka untuk memuatkan penumpang dengan ketinggian sehingga 170 cm. Dakwaan ini benar kerana penulis yang berketinggian 167 cm boleh masuk dan duduk di barisan ketiga dengan mudah. Ruang kaki yang diwujudkan di bawah kerusi barisan kedua membolehkan penulis duduk dalam posisi yang natural dan selesa.
Walaupun begitu, penulis secara peribadi merasakan bahawa barisan tempat duduk ketiga ini lebih sesuai untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa terutamanya untuk perjalanan jauh. Ini kerana ruang tingkap yang agak terhad serta lantai yang tinggi boleh membuatkan ruang ini terasa lebih sempit.
Bukan itu sahaja, hembusan corong pendingin hawa yang terletak pada perehat tangan tempat duduk hadapan juga kurang terasa di barisan paling belakang. Ini akan menjadi lebih teruk jika anda menaiki varian Skyactiv-G 2WD Mid yang mempunyai tiga tempat duduk di barisan kedua.
Bagaimanapun, ketika isu ini disuarakan pada sesi soal jawab dengan Mazda, syarikat itu mengatakan bahawa terdapat liang kecil di bawah tempat duduk barisan kedua yang ditugaskan untuk mengalirkan udara sejuk ke barisan ketiga.
Satu lagi cara Mazda menjadikan kabin CX-8 lebih selesa adalah dengan menambah bahan penebat bunyi pada dapra belakang dan tiang D bagi mengurangkan gegaran sekaligus menjadikan barisan ketiga lebih senyap. Malah ketelitian Mazda tidak berakhir di situ kerana ruang antara bumbung dan spoiler belakang turut dikurangkan bagi tujuan yang sama.
Bagi aspek pemanduan pula, 192 hp dan 258 Nm yang dibekalkan oleh enjin SkyActiv-G 2.5-liter nyata cukup untuk menggerakkan SUV seberat hampir 1.8 tan ini. Berbeza dengan varian turbodiesel SkyActiv-D 2.2-liter, penghantaran kuasa enjin petrol ini lebih linear dan tenang. Ini sesuai dengan CX-8 yang jelas akan dijadikan sebagai kereta keluarga oleh pemiliknya.
Penulis lebih tertarik dengan sistem suspensi yang ditala untuk mencapai keseimbangan antara prestasi dan keselesaan. Sebagai pemandu, penulis dapat merasakan bahawa olengan badan ditetapkan pada tahap minimum manakala sebagai penumpang, segala hentakan yang terhasil dari permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata diserap dengan baik.
Walaupun sesi pandu uji yang dijalankan agak singkat, penulis mendapat gambaran yang cukup jelas bahawa CX-8 hadir sebagai alternatif yang baik untuk mereka yang mahukan CX-5 tetapi pada masa yang sama perlukan lebih daripada lima tempat duduk. Bukan itu sahaja, segala usaha yang dilakukan oleh Mazda untuk menjadikan model ini selesa untuk penumpang nampaknya menjadi.
Jika anda berminat, CX-8 sebenarnya sudah dibuka untuk tempahan namun harga rasmi bagi setiap varian masih belum diumumkan lagi. Kami menjangkakan ia lebih mahal sedikit berbanding CX-5.
Spesifikasi Mazda CX-8 SkyActiv-G 2WD MID
Enjin: Petrol, SkyActiv-G empat silinder dengan VVT
Kapasiti: 2,488 cc
Kuasa: 192 hp @ 6,000 rpm
Tork: 258 Nm @ 4,500 rpm
Transmisi: Automatik enam kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: Akan diumumkan
No Comment