Pirelli Bangunkan Tayar Khas Untuk BMW M8
Sebagai salah satu pengeluar tayar terbesar di dunia, Pirelli menjalinkan kerjasama dengan banyak pengeluar kenderaan bagi menghasilkan tayar yang terbaik untuk produk masing-masing.
Salah satu daripada pengeluar tersebut adalah BMW. Selari dengan falsafahnya iaitu ‘Perfect Fit’, Pirelli telah menghasilkan tayar P Zero yang ditala khas berdasarkan casis dan ciri-ciri pemanduan BMW M8.
Ditawarkan dalam bentuk Coupe, Convertible dan Gran Coupe, M8 dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 yang menjana 625 hp dalam versi Competition, cukup untuk membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
Tayar P Zero yang dibangunkan khas untuk model ini didatangkan dengan tanda khas pada bahagian dinding sisi. Ia dikatakan menawarkan prestasi lebih baik dari segi pengendalian basah dan kering, brek, ‘hydroplane’, berat, keselesaan serta perbatuan.
Menurut Pirelli, antara penambahbaikan yang telah dilakukan termasuk mengubah corak bunga tayar bagi tujuan mengoptimumkan bunyi bising ketika kereta bergerak, selain memberikan tahap cengkaman lebih tinggi.
Untuk mencapai keseimbangan antara gandar, jurutera Pirelli turut menggunakan binaan lapisan berlainan bagi tayar hadapan dan belakang (bersaiz 275/35 ZR 30 di hadapan, 285/35 ZR 20 di belakang). Tayar hadapan mempunyai struktur bersimetri, manakala tayar belakang mempunyai struktur tidak bersimetri.
No Comment