PLUS Laksanakan Inisiatif Ujian Smartlane di NKVE Bermula 23 Oktober
Bermula 23 Oktober akan datang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memperkenalkan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual untuk mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam.
Selepas menjalankan penilaian dan pemerhatian, PLUS merancang untuk melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif SmartLane secara elektronik. Pendekatan yang sama turut digunapakai di United Kingdom dan Belanda.
Langkah ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekaligus untuk mengurangkan kesesakan di antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.
Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di Lebuh raya NKVE antara KM3.2 hingga KM9.2 (Arah Utara) mulai jam 6:30 pagi hingga 9:30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Dalam tempoh waktu puncak tersebut, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki telah menyumbang kepada kesesakan di NKVE. Projek pengujian SmartLane ini adalah langkah proaktif bagi membantu pada pelanggan menikmati perjalanan yang lancar.”
Zakaria menambah, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan sebelum melaksanakan inisiatif ini. Antaranya menempatkan anggota Polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papantanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.
Pelaksanaan SmartLane terbahagi kepada dua fasa, di mana Fasa Pertama akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit.
Fasa Kedua SmartLane dijangka akan beroperasi pada suku kedua 2020 dengan menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya bagi membolehkan PLUS mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien. Kesemua sistem ini akan dapat dipantau dan diuruskan melalui Pusat Kawalan Trafik PLUS di ibu pejabatnya, Persada PLUS.
No Comment