Subaru Levorg Prototype Muncul Dengan Platform dan Enjin Baharu
Subaru telah mendedahkan Levorg Prototype di Tokyo Motor Show 2019. Walaupun digelar sebagai prototaip, unit yang ditunjukkan ini merupakan pratonton kepada model produksi generasi kedua yang akan memasuki pasaran Jepun pada suku kedua tahun hadapan.
Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan versi sebelum ini, namun ia sebenarnya mempunyai satu perubahan besar iaitu penggunaan Platform Global Subaru yang menjanjikan pengendalian yang lebih baik.
Levorg turut menampilkan sistem EyeSight generasi baharu yang menggunakan kamera bersudut lebar dan empat sensor radar pada bampar hadapan dan belakang untuk menghasilkan pandangan 360 darjah.
Fungsi Pre-Collison Braking sistem ini turut ditambahbaik dan kini merangkumi lintasan pejalan kaki dan membelok di persimpangan dengan kadar keterlihatan yang rendah.
Selain itu, Levorg juga mempunyai sistem pengesan lokasi kenderaan yang berfungsi dengan menggunakan data dari GPS dan Michibiki (sistem satelit Quasi-Zenith).
Dengan menggunakan data peta berdefinisi tinggi, model ini boleh mengenal pasti bentuk jalan raya di hadapan, mengurangkan kelajuan sebelum mengambil selekoh dan membantu pemandu dengan pemanduan bebas tangan dalam kesesakan trafik.
Jika berlaku kemalangan, sistem Advanced Automatic Collision Notification pada Levorg akan menghantar amaran kepada operator yang kemudiannya akan menghubungi pihak polis, bomba dan hospital.
Menurut Subaru, model ini akan tampil dengan enjin Boxer 1.8-liter turbo. Perincian mengenai enjin ini bagaimanapun masih belum didedahkan.
No Comment