Sunway Smart Parking Bolehkan Anda Parkir di Sunway Pyramid Tanpa Wang Tunai
Sunway hari ini mengadakan sesi pratonton media bagi sistem parkir pintar Sunway Smart Parking di pusat beli-belah Sunway Pyramid.
Sistem ini menggunakan sistem pengecaman plat nombor pendaftaran kenderaan untuk keluar dan masuk.
Pembayaran menerusi pelbagai aplikasi e-dompet termasuk GrabPay, Boost, WeChat Pay, Alipay, Touch N’Go Digital, dan Maybank QR selain rakan kongsi kredit seperti MasterCard, Visa,American Express, JCB, UnionPay, dan MyDebit.
Sunway Smart Parking merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan Sunway untuk memudahkan para pengunjung, di mana mereka tidak lagi memerlukan wang tunai dan tiket untuk masuk ke kawasan parkir.
Bukan itu sahaja, sistem ini juga dikatakan dapat mengurangkan jejak karbon para pengunjung, sejajar dengan komitmen Sunway terhadap Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sunway Smart Parking akan dilaksanakan dalam kawasan Bandar Sunway, yang merangkumi Sunway Pyramid, Hotel-Hotel Sunway dan Menara Sunway.
Buat masa ini, sistem ini tersedia secara dalam talian bagi pemegang pas bulanan parkir dan akan dilancarkan kepada orang ramai pada suku pertama tahun 2020.
Untuk menggunakan sistem ini, pelanggan hanya perlu mendaftarkan nombor pendaftaran kereta mereka di portal Sunway Parking dan menghubungkan nombor tersebut dengan e-dompet yang terlibat untuk membuat pembayaran.
Bagi pengunjung yang tidak menggunakan e-dompet atau tidak mempunyai internet, mereka boleh memilih untuk membayar menggunakan kad Touch ‘n’ Go atau melalui sistem pembayaran automatik untuk tempoh tertentu bagi memberi masa untuk penyesuaian.
Pengunjung yang mendaftarkan nombor kereta mereka semasa tempoh pra-pendaftaran berpeluang untuk menikmati satu kali parkir percuma apabila dibuka kepada orang ramai.
No Comment