Toyota Mirai Tawar Jarak Pemanduan 650 KM
Empat tahun lalu, Toyota memperkenalkan kenderaan bahan api sel hidrogen (FCEV) pertama di pasaran iaitu Mirai, yang bermaksud ‘masa depan’ dalam bahasa Jepun. Kini, model itu telah memasuki generasi kedua dengan membawa banyak perubahan.
Salah satu daripada perubahan tersebut adalah peralihan dari platform pacuan roda hadapan kepada platform pacuan roda belakang. Menurut Toyota, langkah ini membolehkan mereka membangunkan sebuah sedan yang lebih panjang, lebar dan rendah dengan struktur yang lebih kukuh.
Bukan itu sahaja, reka bentuk baharu Mirai yang diinspirasikan oleh kereta coupe juga lebih aerodinamik berbanding model sebelum ini, manakala kehadiran rim aloi berukuran 20 inci memberikannya imej yang lebih mewah.
Bercakap tentang gaya, warna biru yang ditampilkan ini dikenali sebagai Force Blue dan ia tidak pernah ditampilkan pada mana-mana model Toyota sebelum ini. Warna ini dihasilkan menerusi proses mengecat pelbagai lapisan.
Seperti bahagian luaran, reka bentuk kabin Mirai juga tampil moden dan bergaya. Antara kelengkapan yang ada adalah panel meter digital berukuran 8 inci, cermin pandang belakang digital yang memaparkan imej daripada kamera belakang, sistem multimedia Toyota Premium yang merangkumi skrin TFT 12.3 inci dan juga sistem audio JBL dengan 14 pembesar suara.
Perincian mengenai trenkuasa hidrogen Mirai baharu masih belum didedahkan, namun Toyota menyatakan bahawa ia mensasarkan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 30% berbanding sebelum ini. Ini bermakna jika model generasi pertama mampu mencapai kira-kira 500 km, model baharu ini mungkin boleh dipandu sehingga hampir 650 km.
No Comment