Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Toyota Yaris 2020
Toyota telah mendedahkan sepenuhnya Yaris 2020 menjelang kemunculannya di Tokyo Motor Show pada bulan ini. Ia akan dijual di Jepun bermula pertengahan Februari tahun hadapan.
Yaris merupakan model kompak pertama Toyota yang dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-B. Berbanding platform terdahulu, ia 50 kg lebih ringan, 30% lebih tegar dan mempunyai pusat graviti yang lebih rendah sebanyak 15 mm.
Platform ini dipadankan dengan topang MacPherson di hadapan dan di belakang pula terdapat sistem gantungan ‘torsion beam’ untuk model pacuan roda hadapan atau ‘double wishbone’ untuk model pacuan empat roda (E-Four).
Yaris ditawarkan dalam empat varian, di mana tiga daripadanya menggunakan enjin Dynamic Force 1.5-liter tiga silinder baharu.
- 1.5L Dynamic Force dengan Direct Shift-CVT
- 1.5L Dynamic Force dengan sistem hibrid dan pacuan empat roda elektrik (E-Four)
- 1.5L Dynamic Force dengan manual enam kelajuan
- 1.0L 1KR-FE tiga silinder dengan CVT ringan
Walapun bersaiz kompak, Yaris didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang direka untuk kesenangan pemandu dan penumpang. Antaranya adalah Easy Return Seat yang pada asasnya merupakan tempat duduk memori dengan operasi manual dan Turn Tilt Seats yang membolehkan penumpang keluar dan masuk dengan lebih mudah.
Selain itu, terdapat juga paparan audio dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto serta paparan ‘head-up’. Varian hibrid dilengkapi dengan outlet kuasa aksesori 1,500 W yang boleh bertindak sebagai penjana sekiranya berlaku gangguan bekalan kuasa elektrik di rumah.
Dari segi keselamatan, Yaris didatangkan dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Automatic High Beam dan Road Sign Assist. Turut disertakan adalah Secondary Collision Brake dan sistem parkir semi autonomi iaitu Advanced Parking Support System.
No Comment