Volkswagen Atlas Cross Sport – SUV Coupe Untuk AS
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend menghasilkan SUV berbentuk coupe semakin menjadi-jadi di kalangan pengeluar kereta. Terbaru, Volkswagen telah memperkenalkan Atlas Cross Sport yang dihasilkan khas untuk pasaran Amerika Syarikat.
Jika dibandingkan dengan Atlas, versi ini lebih pendek dan lebih rendah manakala jarak roda (wheelbase) kekal sama. Ia juga mempunyai rekaan bampar yang lebih agresif serta profil sisi yang lebih menonjol. Mereka yang mahukan imej lebih sporty boleh memilih versi R-Line yang didatangkan dengan kemasan krom dan hitam pada bampar, serta rim aluminium aloi berukuran 21 inci.
Di dalam, Atlas Cross Sport menerima beberapa penambahbaikan berbanding Atlas seperti stereng baharu dengan kawalan lebih intuitif, jahitan kontras pada tempat duduk dan panel pintu serta pengecas telefon wayarles.
Selain itu, Volkswagen turut menawarkan pelbagai kelengkapan mewah tambahan seperti pemanas stereng tempat duduk belakang, pelindung matahari belakang dan sistem audio Fender dengan 12 pembesar suara. Bergantung kepada varian, model ini juga didatangkan dengan kokpit digital.
Atlas Cross Sport dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan pemandu canggih. Antaranya adalah Forward Collision Warning dengan Autonomous Braking (Front Assist), Blind Spot Monitoring dan Rear Traffic Alert. Varian-varian teratas mendapat ciri tambahan seperti Adaptive Cruise Control dengan ciri Stop & Go, Park Distance Control, Traffic Jam Assist dan Dynamic Road Sign Display.
Traffic Jam Assist menggunakan kamera dan radar sensor hadapan untuk mengekalkan jarak dari kereta di hadapan dan membantu mengekalkan Atlas Cross Sport di tengah-tengah lorong. Ia beroperasi dari 0 hingga 60 km/j dan boleh berhenti sepenuhnya sekiranya perlu. Sekiranya trafik bergerak semula dalam tempoh tiga saat, kenderaan akan turut bergerak.
Sementara itu, Dynamic Road Sign Display pula akan memaparkan had kelajuan, zon tidak boleh memotong, zon sekolah serta zon pembaikan jalan pada skrin navigasi dan panel instrumen.
Atlas Cross Sport boleh didapati dengan dua enjin iaitu enjin 2.0 TSI empat silinder dengan 235 hp dan enjin 3.6 V6 dengan 276 hp. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan boleh didapati dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.
No Comment