Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design Tiba di Malaysia – RM296k
Volvo S60 serba baharu telah dilancarkan di Malaysia dalam varian T8 Twin Engine R-Design. Sedan itu ditawarkan pada harga RM295,888 (harga atas jalan tanpa insurans) dan datang dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
Dibina di atas Scalable Product Architecture (SPA), S60 T8 Twin Engine tampil dengan enjin Drive-E 2.0-liter yang memacu gandar hadapan dan motor elektrik yang menggerakkan gandar belakang.
Gandingan ini menghasilkan output keseluruhan berjumlah 407 hp pada 5,700 rpm dan 640 Nm dari 1,200 hingga 5,400 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD), sedan ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Pek bateri lithium-ion berkapasiti 11.6 kWh di dalam terowong transmisi membolehkan S60 dipandu sejauh 49 km dengan kuasa elektrik sahaja.
Dari segi penampilan, S60 hadir dengan pelbagai komponen R-Design termasuk rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, rim aloi 19 inci, kemasan hitam di sekeliling tingkap dan cermin sisi serta muncung ekzos berbentuk trapezoid.
Di dalam, anda akan menjumpai barisan kelengkapan R-Design seperti roda stereng, pedal dan tempat duduk. Seperti model Volvo yang lain, S60 dilengkapi dengan skrin sentuh 9.0 inci yang memberikan akses kepada sistem infotainmen Sensus Connect, serta kluster instrumen digital 12.3 inci.
Ciri-ciri lain termasuk bumbung suria panoramik, Around View Monitor 360 darjah, Park Assist Pilot, sistem pendingin hawa dua zon dan sistem audio Harman Kardon dengan 14 pembesar suara.
Bagi keselamatan, sedan ini mempunyai enam beg udara, Run-off Road Mitigation, Front and Rear Collision Warning and Mitigation Support, Driver Alert Control dan Cross Traffic Alert. Turut disertakan adalah City Safety yang membolehkan kereta membrek secara automatik bagi mengelakkan atau mengurangkan kesan perlanggaran.
Untuk sementara waktu, S60 T8 Twin Engine R-Design ditawarkan di Malaysia dalam versi CBU yang diimport daripada Amerika Syarikat. Menurut Volvo Car Malaysia, versi pemasangan tempatan (CKD) akan ditawarkan bermula tahun hadapan.
No Comment