Yamaha Lifestyle Station – Pusat Sehenti Peminat dan Pemilik Yamaha
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia, hari ini merasmikan pembukaan Yamaha Lifestyle Station yang bertempat di ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh, Selangor.
Yamaha Lifestyle Station menempatkan ruang pameran berkeluasan 13,000 kaki persegi (10 kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini) di mana pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat barisan model-model semasa dan klasik yang dipamerkan.
Terletak bersebelahan ruang pameran tersebut adalah Gen Blue Cafe yang menyediakan pelbagai makanan dan minuman enak. Apa yang menarik, pelanggan boleh membuat pesanan makanan dan juga pembayaran menerusi robot pelayan yang diberi nama Shila Sakura.
Selain itu, terdapat juga ruang barangan rasmi Yamaha seperti baju dan topi, selain pameran barisan jentera lumba Yamaha seperti Yamaha OW01, TZ250, TZ500 dan sebagainya. Pengunjung juga boleh menunjukkan bakat seni masing-masing dengan mencuba alat muzik keluaran Yamaha di ruang yang disediakan.
Selari dengan konsep moden yang ditampilkan oleh Yamaha Lifestyle Station, pusat servis HLYM kini dilengkapi dengan penyaman udara sepenuhnya. Ia juga merupakan antara pusat servis Yamaha terbesar di negara ini, dengan 15 ruang servis khas.
HLYM turut menaik taraf pusat akademi latihan dan pendidikan motosikal (Motorcycle Education & Training Academy Centre, META) untuk menyediakan latihan teknikal berkualiti tinggi, sekaligus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan wakil pengedar Yamaha.
Dalam fasa kedua yang akan dijalankan bermula tahun hadapan, HLYM akan membuka muzium motosikal mereka tersendiri serta auditorium pelbagai fungsi di mana pelanggan boleh menjalankan pelbagai jenis aktiviti.
No Comment