Daihatsu Rocky Dilancarkan di Jepun
Toyota telah melancarkan SUV kompak terbarunya iaitu Raize di Jepun beberapa hari yang lalu. Kini, tiba giliran untuk versi Daihatsu pula memasuki pasaran negara Matahari Terbit itu.
Dikenali sebagai Rocky, ia dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menjadikannya model kedua untuk menggunakan platform tersebut selepas Raize.
Dari segi reka bentuk, Rocky boleh dibezakan menerusi gril heksagon yang lebih kecil, bampar hadapan serta lampu nyalaan siang menegak pada perumah lampu kabus.
Di belakang pula, tiada perbezaan antara model ini dengan kembar Toyota-nya, kecuali logo. Rocky didatangkan dengan rim 17 inci serta lapan pilihan warna, termasuk tiga warna dua tona dengan bumbung berwarna hitam.
Reka bentuk dan susun atur ruang kabinnya juga kelihatan sama seperti Raize. Panel instrumen digital, paparan sentuh berukuran sembilan inci serta ruang but 369 liter adalah antara ciri-ciri utama yang dikekalkan.
Seperti Raize, ia turut dikuasakan oleh enjin turbo 1.0-liter tiga silinder yang menghasilkan 98 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi D-CVT.
Rocky ditawarkan dalam versi 2WD dan 4WD, dengan tahap penggunaan api 17.4 km/l bagi 2WD dan 18.6 km/l bagi 4WD.
Ciri Dynamic Torque Control 4WD ditugaskan untuk menyalurkan tork yang secukupnya ke roda belakang ketika memandu di atas permukaan jalan yang licin.
Antara ciri keselamatan yang disertakan termasuk Adaptive Cruise Control dengan All Speed Tracking, Smart Panorama Parking Assist, Collision Warning Function, Crash Avoidance Braking Function dan Erroneous Start Prevention Function.
No Comment