VIDEO: Dodge Challenger Drag Pak Lakukan ‘Burnout’
Dodge dan Mopar akan menggunakan pentas pada acara SEMA 2019 yang akan berlangsung tidak lama lagi untuk memperkenalkan jentera lumba drag terbaru mereka iaitu Challenger Drag Pak.
Tiada perincian diberikan setakat ini, namun video dan gambar teaser yang dikeluarkan oleh Dodge memberikan sedikit sebanyak bayangan tentang jentera itu.
Dalam video berdurasi 15 saat itu, kita boleh melihat Challenger Drag Pak menampilkan warna bendera Amerika Syarikat sebagai tema, dengan jalur biru dan merah menghiasi hud, bumbung dan bonet kereta itu.
Selain pelekat Mopar pada sebelah kiri dan kanan badan, ia juga mempunyai pelekat “Powered by SRT” pada cermin hadapan. Mungkin ini boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada enjin yang digunakan oleh Challenger Drag Pak.
Di belakang pula, terdapat payung terjun dan ‘wheelie bar’ yang menandakan bahawa jentera ini tidak boleh dipandu di jalan raya.
Kali terakhir Dodge dan Mopar menawarkan Challenger Drag Pak adalah pada tahun 2015, di mana model tersebut ditawarkan dengan pilihan enjin HEMI supercharged 354 inci kubik dan 426 inci kubik.
No Comment