Honda City Generasi Kelima Dilancarkan di Thailand
Honda City generasi kelima telah dilancarkan di Thailand. Selain reka bentuk lebih segar, sedan segmen B yang popular ini tampil dengan enjin VTEC Turbo baharu dan varian RS yang sporty.
Bagi pasaran negara itu, City ditawarkan dalam empat varian iaitu:
- RS – 739,000 THB (RM102,109)
- SV – 665,000 THB (RM91,884)
- V – 609,000 THB (RM84,147)
- S – 579,500 THB (RM80,071)
Dari segi penampilan, rekaan luaran City tampil lebih premium dan sporty dengan lampu projektor baharu dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, gril krom, antena sirip yu dan rim aloi 15 inci dalam rekaan terbaru.
Di dalam, model ini tampil dengan paparan multi-info (MID) dengan pencahayaan, paparan sentuh audio berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Siri Voice Control, stereng multi-fungsi dan sistem pendingin hawa automatik.
Bergantung kepada varian, ruang kabin City dihiasi dengan upholsteri kulit dua tona, kemasan hitam piano pada konsol dan pemegang pintu krom.
Buat pertama kalinya, City boleh didapati dalam varian RS yang tampil dengan:
- warna Ignite Red
- gril hitam berkilat dengan logo RS
- rekaan bampar dan gril yang sporty
- lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang LED
- lampu kabus LED
- cermin sisi boleh lipat berwarna hitam lengkap dengan lampu isyarat spoiler hitam berkilat dengan logo RS
- rim aloi 16 inci
- tempat duduk suede dengan jahitan merah
- paparan multi-info dengan pencahayaan berwarna merah
Seperti yang dinyatakan, City kini tampil dengan enjin VTEC Turbo 1.0-liter tiga silinder 12-injap yang menjana 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm.
Dipadankan dengan CVT, enjin ini didakwa mempunyai tahap kecekapan bahan api sebanyak 23.8 km bagi setiap liter, dengan emisi CO2 99 gram bagi setiap km.
Antara ciri keselamatan yang ditampilkan adalah struktur badan G-CON (G-Force Control), enam beg udara, ABS, EBD, VSA, HSA dan kamera undur multi-sudut.
No Comment