Hyundai i30 N Tiba di Malaysia – 20 Unit Sahaja
Hatchback berprestasi tinggi Hyundai i30 N telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada harga RM298,888. Terhad kepada 20 unit sahaja, model ini boleh ditempah menerusi Lazada Chup Dulu.
Dari 2 hingga 11 Disember , mereka yang berminat perlu membuat bayaran deposit 50% daripada yuran tempahan RM2,000 menerusi aplikasi Lazada. Baki RM1,000 antara 12 hingga 14 Disember untuk mengesahkan tempahan. Deposit tidak akan dikembalikan jika pembayaran yuran tempahan penuh tidak diselesaikan.
Bagi pasaran Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) menawarkan model ini dalam varian N Performance yang hadir dengan kelengkapan tambahan seperti rim aloi 19 inci, angkup brek merah dengan logo N, ciri pelarasan elektrik untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, upholsteri Faux Suede dan kulit serta enjin yang lebih berkuasa.
Pembeli akan dihubungi oleh wakil Hyundai Malaysia untuk membuat pembelian di bilik pameran Hyundai terpilih. 20 pembeli yang melengkapkan pembelian dan mendapat kelulusan pinjaman akan diterbangkan ke Korea untuk pengalaman memandu di litar yang eksklusif.
Dikuasakan oleh enjin T-GDI 2.0-liter empat silinder, i30 N versi N Performance mempunyai 275 PS pada 6,000 rpm dan 353 Nm (378 Nm dengan Overboost). Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
I30 N hadir dengan lima mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, N dan N Custom yang boleh diakses dengan hanya menekan satu butang. Sistem kawalan N-Grin pula menukar mod pemanduan serta mengubahsuai parameter enjin dan peredam sambil mengaktifkan Electronic Stability Control (ESC), Electronic Limited Slip Differential (E-LSD), bunyi ekzos, stereng dan ciri Rev-Matching.
Pemandu boleh mengaktifkan ciri Rev-Matching untuk meningkatkan rev apabila menurunkan gear, manakala ciri Launch Control pula membantu jentera tersebut memecut selaju mungkin dengan mengawal tork enjin.
Selain itu, i30 N juga didatangkan dengan ciri Overboost yang berfungsi untuk meningkatkan tork (+8%) dan pecutan (+6%-7%). Pengalaman pemanduan dipertingkatkan lagi dengan peredam ekzos berkembar dengan sistem injap boleh ubah.
Dari segi penampilan, i30 N hadir dalam warna Performance Blue yang diinspirasikan daripada jentera Hyundai Motorsports WRC dan TCR. Warna ini dipadankan dengan jalur merah pada splitter hadapan dan skirt sisi. Di belakang, muncung ekzos berkembar dan spoiler berwarna hitam memberikan penampilan yang lebih garang.
Masuk ke bahagian dalam, terdapat stereng N eksklusif dengan butang mod pemanduan Normal, Sport dan Eco pada sebelah kiri dan butang N-mode pada sebelah kanan. Turut disertakan adalah tempat duduk sport dan penanda penukaran gear pada kluster.
Tidak dilupakan juga ciri keselamatan aktif, yang terdiri daripada Autonomous Emergency Braking (AEB), Driver Attention Aler (DAA), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan High Beam Assist (HBA).
No Comment