Masalah Yang Dihadapi Oleh Pemilik Kenderaan Baharu di Malaysia Menurun – J.D. Power
Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) Malaysia 2019 yang dijalankan oleh J.D. Power mendapat bahawa masalah yang dialami oleh pemilik-pemilik kenderaan baharu di Malaysia menurun berbanding dengan tahun 2018. Punca utamanya adalah pengurangan dalam masalah yang berkait dengan pengilangan.
Kualiti awal mengukur bilangan masalah yang dialami oleh setiap 100 kenderaan (PP100) dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan, di mana bilangan yang rendah mewakili kualiti yang lebih tinggi.
Dalam kaji selidik tahun ini, purata industri menurun kepada 85 PP100, dari 89 PP100 dalam tahun 2018. Masalah yang dialami hampir sama rata di antara kategori reka bentuk (40 PP100) dan pengilangan (44 PP100).
Kaji selidik ini mendapati bilangan masalah yang berkaitan dengan pengilangan telah berkurangan sepanjang tiga tahun lalu ke 51% dalam tahun 2019 dari 74% dalam tahun 2016. Punca majoriti dalam penurunan berbanding tahun lalu adalah dari aspek bunyi, seperti bunyi angin (-1.7 PP100); bunyi suspensi tidak normal (-1.1 PP100); bunyi dari tempat duduk (-0.9 PP100); bunyi transmisi tidak normal (-0.7 PP100); dan bunyi dari ruang penyimpanan yang lain (-0.3 PP100).
Namun begitu, 36% daripada masalah pengilangan yang dilaporkan oleh pemilik kenderaan adalah berkaitan dengan bunyi. Secara purata, pemarkahan keseluruhan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan baharu lebih rendah di kalangan pemilik kenderaan yang melaporkan masalah bunyi berkaitan dengan isu pengilangan berbanding dengan mereka yang tidak (7.3 dan 8.2 masing-masing dalam skala 10 mata).
Berikut adalah penemuan utama daripada kaji selidik tahun 2019:
- Masalah utama yang lalu masih kekal: Di antara lima masalah utama, empat adalah sama dengan lima masalah teratas dalam tahun 2018. Bunyi angin yang berlebihan (5.9 PP100) dan bunyi jalan yang berlebihan (2.9 PP100) masih menjadi dua masalah teratas yang dilaporkan. “Masalah hubungan Bluetooth dengan peranti/telefon bimbit” menjadi masalah ketiga paling banyak dilaporkan (2.7 PP100), meningkat dari tempat kelima tahun lepas (2.5 PP100). Masalah radio mendapat kedudukan keempat tahun ini (2.0 PP100).
- Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah: Para pelanggan di bawah umur 35 tahun (57%) melaporkan lebih banyak masalah berbanding dengan mereka yang berumur 35 tahun ke atas (91 PP100 berbanding dengan 73 PP100, masing-masing). Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah dalam kategori ciri kawalan/paparan (+4.6 PP100) dan juga dalaman kenderaan (+4.5 PP100).
- Kualiti membinakan sokongan dan kesetiaan: 49% di kalangan pemilik kenderaan yang tidak melaporkan masalah menyatakan mereka “pasti akan” mengesyorkan jenama dan model kenderaan mereka kepada rakan atau saudara-mara, berbanding dengan 37% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dalam kenderaan mereka. Satu per tiga daripada pemilik kenderaan baharu yang tidak mengalami apa-apa masalah dengan kenderaan mereka menyatakan “pasti akan” membeli balik buatan yang sama di masa depan, berbanding dengan 26% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dengan kenderaan mereka.
Kedudukan kaji selidik:
- Honda Jazz mendapat kedudukan tertinggi di dalam segmen kenderaan bandar kompak dengan 68 PP100.
- Honda City mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen ‘entry’ saiz sederhana dengan 59 PP100.
- Perodua Aruz mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen SUV kompak dengan 70 PP100.
- Honda CR-V mendapat kedudukan tertinggi dalam segmen SUV bersaiz besar dengan 64 PP100.
Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 oleh J.D. Power berdasarkan maklumbalas daripada 1,904 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Julai 2018 dan Ogos 2019. Kaji selidik ini melibatkan 50 model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti daripada 12 jenama. Kaji selidik ini dijalankan antara bulan Mac dan Oktober 2019.
Kini pada tahun ke-17, kaji selidik menjadi penanda aras kualiti kenderaan baharu dengan meneliti masalah-masalah yang dialami oleh pemilik kenderaan baharu dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan menurut dua kategori yang berlainan: masalah yang berkaitan dengan aspek reka bentuk kenderaan dan juga masalah ketidaksempurnaan dan kerosakan.
Kaji selidik ini merangkumi soalan-soalan diagnostik yang spesifik dalam lapan kategori masalah: luaran; pengalaman memandu; ciri/ kawalan/ paparan; audio/ komunikasi/ hiburan/ navigasi; tempat duduk; pemanasan/ pengudaraan/ penghawa dingin; dalaman; dan enjin/ transmisi. Ia juga merangkumi Net Promoter Score (NPS), yang mengukur kecenderungan pelanggan untuk mengesyorkan jenama kenderaan kepada kenalan mereka pada skala 0-10.
No Comment