Kia Optima Generasi Kelima Hadir Dengan Reka Bentuk Fastback
Kia Optima generasi kelima telah didedahkan sepenuhnya menerusi beberapa gambar rasmi. Model yang ditampilkan ini adalah versi pasaran Korea Selatan, di mana ia dikenali dengan nama K5.
Seperti yang dijangka, Optima hadir dengan reka bentuk yang lebih menonjol dan berani berbanding model sedia ada. Anda boleh lihat kehadiran trademark Kia iaitu jeriji ‘hidung harimau’ yang bersepadu dengan rekaan hud yang berlekuk.
Sementara itu, lampu hadapannya tampil lebih nipis lengkap dengan lampu nyalaan siang berbentuk ‘V’ yang menyerlah. Satu lagi elemen yang menonjol adalah kemasan krom di sepanjang garisan yang wujud untuk menyerlahkan lagi bentuk ‘fastback’ Optima.
Beralih ke bahagian belakang, anda akan menjumpai grafik ‘V’ yang sama pada lampu. Selain itu, diffuser berwarna perak serta muncung ekzos petak yang hadir dalam kemasan krom sedikit sebanyak memberikan model ini imej yang lebih agresif.
Dari segi ukuran, Optima lebih besar dan lebar berbanding model yang digantikan dengan ukuran panjang 4,905 mm (+50 mm) dan lebar 1,860 mm (+25 mm).
Ukuran jarak roda (wheelbase) adalah 2,850 mm, manakala ketinggian sedan ini berkurang sebanyak 20 mm menjadi 1,445 mm. Menurut Kia, ini memberikan Optima profil rendah yang sporty.
Bagi pasaran Korea, Optima boleh didapati dengan rim aloi aluminium bersaiz 16 hingga 19 inci, dengan kemasan hitam berkilat dan kelabu.
Ruang dalaman Optima masih belum didedahkan, namun imej teaser yang disiarkan beberapa minggu lalu menunjukkan ruang kabin canggih dan moden dengan kluster instrumen digital dan skrin infotainmen yang lebar.
No Comment