McLaren Elva – 0-100 Km/j Dalam Kurang Tiga Saat
Ini adalah McLaren Elva, model kokpit terbuka pertama bagi jenama McLaren serta roadster pertama dalam barisan Ultimate Series.
Seperti model-model Ultimate Series yang lain iaitu P1, Senna dan Speedtail, pengeluaran Elva juga akan dihadkan. Hanya 399 unit akan ditawarkan di seluruh dunia, dengan harga bermula £1,425,000 (RM6.5 juta).
Menurut McLaren, nama Elva diambil bersempena dengan jentera lumba McLaren-Elva M1A dari era 1960-an. Seperti jentera lumba tersebut, Elva tidak mempunyai bumbung mahupun cermin penghadang angin. Bagaimanapun, McLaren masih menawarkan cermin secara pilihan.
Bagi memastikan pemandu dan penumpang sentiasa terlindung daripada angin, McLaren membangunkan Active Air Management System (AAMS) yang direka untuk mengalirkan udara dari bahagian hadapan ke atas kokpit.
Apabila AAMS diaktifkan, pemantul yang diperbuat daripada gentian karbon akan dinaikkan pada ketinggian sehingga 150 mm bagi menghasilkan zon tekanan rendah.
Di dalam, Elva tampil dengan satu lagi ciri baharu yang julung kali diperkenalkan di dalam sebuah McLaren iaitu kawalan Active Dynamics yang diintegrasikan pada sebelah kiri dan kanan kluster instrumen. Ini membolehkan pemandu menekan suis kawalan tanpa perlu melepaskan tangan dari stereng.
Selain itu, terdapat juga skrin sentuh berukuran lapan inci yang bertindak sebagai hab kawalan fungsi-fungsi kenderaan. Menurut McLaren. sistem infotainmen Elva dibangunkan untuk membolehkan pemandu menggunakan beberapa aplikasi serentak seperti sebuah telefon pintar.
Seperti Senna dan Senna GTR, Elva tampil dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghamburkan 815 PS dan 800 Nm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang tiga saat dan dari 0 hingga 200 km/j dalam 6.7 saat (lebih laju berbanding Senna, menurut McLaren). Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.
Bagi aspek casis, Elva dilengkapi dengan sistem suspensi aktif hidraulik dengan tetapan perisian, pegas gegelung dan peredam unik yang ditala khas. Sistem brek pula terdiri daripada cakera karbon seramik berukuran 390 mm pada gandar hadapan dan belakang. Ini dibantu dengan brek udara yang dihasilkan oleh spoiler belakang aktif.
Elva tidak mempunyai radio (bagi tujuan pengurangan berat) namun pelanggan boleh mendapatkannya tanpa sebarang kos tambahan. Selain itu, kelengkapan pilihan seperti rim aloi lima batang, tayar Pirello P Zero Corsa dan sistem ‘lift’ juga ditawarkan tanpa sebarang kos tambahan.
No Comment