MINI JCW Countryman dan JCW Clubman Kini Mempunyai 306HP
Selain Clubman, MINI Malaysia turut melancarkan dua model berprestasi tinggi iaitu John Cooper Works Countryman 306HP dan John Cooper Works Clubman 306HP.
Seperti yang tertera pada namanya, kedua-dua model JCW ini mempunyai 306 hp pada 5,000 – 6,250 rpm dan 450 Nm pada 1,750 – 4,500 rpm. Kuasa ini dibekalkan oleh enjin TwinPower Turbo 2.0-liter yang dilengkapi dengan aci engkol baharu.
Selain itu, nisbah pemampatan enjin tersebut dikurangkan daripada 10.2 kepada 9.5 manakala pengecas turbo dipasangkan dengan injap pemampat pintasan untuk tindak balas yang lebih baik. Saluran udara juga dijarakkan sejauh mungkin.
Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, JCW Clubman 306HP mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.9 saat manakala JCW Countryman 306HP melakukannya dalam 5.1 saat. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua model adalah 250 km/j.
Gear jentera ini dapat ditukar secara manual menggunakan padel penukar gear. Dengan memilih mod Green, fungsi luncur boleh diaktifkan sebaik sahaja pedal pemecut dibebaskan pada kelajuan antara 50–160 km/j.
Sistem brek dipertingkatkan dengan cakera berukuran 360 mm di hadapan dan 330 mm di belakang, serta angkup empat piston berwarna merah lengkap dengan logo JCW.
Bagi sistem suspensi, JCW Clubman 306HP didatangkan dengan suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 10 mm, manakala JCW Countryman 306HP mendapat sistem suspensi adaptif.
Beralih ke penampilan, JCW Countryman 306HP kini hadir dengan panel trim bampar baharu dan saluran udara terbuka di kedua-dua sisi. Di belakang pula terdapat muncung ekzos lebih besar yang berukuran 85 mm.
JCW Clubman 306HP pula didatangkan dengan rupa paras yang diubah sepenuhnya menerusi jeriji honeycomb, bampar hadapan yang diubah suai, spoiler hadapan serta sisipan di jeriji bawah.
Eksklusif untuk model ini adalah lampu hadapan LED Matrix Light Functionality dan lampu belakang LED penuh dalam corak rekaan Union Jack. Ia juga mempunyai ekzos yang lebih besar dengan ukuran diameter 95 mm.
Kedua-dua model JCW ini dilengkapi dengan rim dua tona JCW Circuit berukuran 19 inci. JCW Clubman 306HP ditawarkan dalam warna Rebel Green, White Silver, Midnight Black dan Chili Red, sementara JCW Countryman 306HP boleh didapati dalam Rebel Green, Light White, Midnight Black dan Chili Red.
Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi dengan material kulit Carbon Black Dinamica, serta stereng kulit JCW, kluster instrumen JCW, trim paparan sentral JCW, skrin mula JCW dan ambang pintu JCW.
Ia juga menampilkan pedal keluli tahan karat, permukaan kokpit MINI Yours dalam warna Piano Black dengan 12 warna pencahayaan ambien, serta bumbung matahari panoramik.
Antara kelengkapan standard yang ada termasuk Head-Up Display, skrin sentuh 8.8 inci dengan sim kad 4G, aplikasi MINI Connected dan sistem audio Harman Kardon.
Kedua-dua varian MINI John Cooper Works 306HP ditawarkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma.
Harga jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) adalah RM358,888 bagi JCW Clubman 306HP dan RM378,888 bagi JCW Countryman 306HP.
No Comment