MINI John Cooper Works GP 2020 Boleh Cecah 265 km/j
Mini John Cooper Works GP baharu telah diperkenalkan dan dengan masa pecutan 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan kelajuan maksimum mencecah 265 km/j, ia merupakan model produksi jalan raya paling laju pernah dihasilkan oleh jenama itu.
Ya, memang ‘hot hatch’ ini betul-betul pantas. Ia dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 306 hp antara 5,000 dan 6,250 rpm dan 450 Nm dari 1,750 rpm.
Menurut Mini, output tersebut dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo lebih besar dan sistem ekzos. Ditambah dengan komponen-komponen yang dipertingkatkan seperti aci engkol, omboh dan sistem penyejukan, John Cooper Works GP mempunyai 75 hp lebih berbanding John Cooper Works biasa.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan, iaitu satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan. Ia boleh dioperasikan menerusi tombol gear atau ‘paddle shifter’ yang terletak pada stereng.
Transmisi tersebut dipadankan dengan ‘differential’ mekanikal yang ditugaskan untuk membahagikan tork antara roda hadapan bagi mendapatkan cengkaman optimum terutamanya apabila memecut keluar dari selekoh.
John Cooper Works GP dilengkapi dengan sistem suspensi khas yang lebih keras dan lebih rendah (10 mm berbanding JCW biasa) dan bar penstabil di dalam ruang enjin. Sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 360 mm dengan angkup empat omboh di hadapan dan satu omboh di belakang.
Berbeza dengan varian-varian lain dalam barisan Mini, model ini tampil dengan kit badan agresif dengan spoiler gergasi dan dapra lebar yang diperbuat daripada CFRP. Ia memakai rim aloi ringan 18 inci dengan tayar bersaiz 225/35 R18.
Masuk ke bahagian dalam, John Cooper Works GP didatangkan dengan hanya dua kerusi yang dibalut uphlolsteri kulit/Dinamica, serta lencana GP pada roda stereng.
Mini akan menawarkan 3,000 unit John Cooper Works GP dengan harga yang dilaporkan bermula $44,900 (RM186,896).
No Comment