Mitsubishi Triton Quest – Trak Pikap Paling Mampu Milik Berharga RM80k
Mitsubishi Triton Quest telah dilancarkan secara rasmi oleh Mitsubishi Motors Malaysia. Ia merupakan varian paling rendah dalam barisan model Triton yang sesuai untuk kegunaan lasak.
Dikatakan sebagai trak paling mampu milik di pasaran, Triton Quest ditawarkan pada harga RM79,890 dan hadir dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km.
Triton Quest direka untuk kemudahan pemilik untuk memuatkan barangan di belakang dengan jarak dari tanah ke tailgate yang rendah. Ia juga dilengkapi dengan ruang penyimpanan rahsia di kerusi belakang yang mudah capai tetapi tersembunyi dari pandangan.
Selain itu, Triton Quest didatangkan dengan kapasiti muatan sehingga 970 kg termasuk penumpang dan kargo. Reka bentuk J-Line pula memberikan lebih banyak ruang dan keselesaan kepada penumpang belakang sambil mengekalkan ruang kargo yang luas.
Kuasa dibekalkan oleh enjin turbodiesel 2.5-liter yang menghamburkan 110 PS dan 200 Nm. Model ini hanya ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan.
Dari segi pengendalian, Triton Quest mempunyai radius pusingan terbaik dalam kelasnya iaitu 5.7 m. Ini menjadikannya lebih mudah dikawal di jalan yang sempit.
Bagi ciri keselamatan pula, model ini hadir dengan dua beg udara, ABS dengan EBD, dan badan Reinforced Impact Safety Evolution (RISE).
Turut disertakan adalah Seat Belt Pre-Tensioner, Electronic Time and Alarm Control System (ETACS) dengan Lane Change Turn Signal System, Power Window Timer, Headlamp Auto Off Function, Power Window Timer, Auto Door Relock System, Open Door Alarm, Auto dan Speed Adjustable Wipers.
Selain itu, terdapat juga Multi-Info Display yang ditugaskan untuk memaparkan pelbagai maklumat penting seperti jarak perbatuan, peringatan servis, tahap bahan api dan purata penggunaan bahan api.
No Comment