MV Agusta Brutale 1000 RR Didedahkan Sebelum Pameran EICMA
Pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung pada minggu ini di Milan, Itali bakal menyaksikan kemunculan MV Agusta Brutale 1000 RR.
Secara ringkasnya, Brutale 1000 RR hadir sebagai versi mampu milik kepada model edisi terhad Brutale Serie Oro yang diperkenalkan di EICMA tahun lalu.
Oleh itu untuk menjaga kos, MV Agusta terpaksa mengeluarkan beberapa komponen eksklusif yang terdapat pada Serie Oro seperti rim gentian karbon dan kelengkapan titanium.
Walaupun begitu, Brutale 1000 RR masih sebuah motosikal naked yang berbisa dengan kuasa sebanyak 208 hp pada 13,000 rpm dan 116.7 Nm pada 11,000 rpm yang dibekalkan oleh enjin 998 cc empat silinder.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi semi-aktif yang merangkumi fork Öhlins Nix EC di hadapan dan penyerap hentak Öhlins EC TTX di belakang.
Kuasa membrek dibekalkan oleh Brembo dengan angkup empat omboh Stylema di hadapan. Ia hadir bersama-sama dengan ABS Bosch 9 Plus dengan Race Mode dan Rear Wheel Lift-up Mitigation (RLM).
Selain itu, penunggang mempunyai empat pemetaan enjin dan lapan tahap tahap Traction Control untuk dipilih. Turut disertakan adalah Quickshifter dan Launch Control.
Dari segi penampilan, Brutale 1000 RR masih hadir dengan beberapa komponen badan gentian karbon tetapi rim yang digunakan diperbuat daripada aluminium tempaan.
Dijual pada harga €29,900 (RM138,164) iaitu €13,000 (RM60,071) lebih murah berbanding Serie Oro, Brutale 1000 RR boleh didapati dalam dua gabungan warna iaitu Ago Red/Dark Metallic Matt Grey/Matt Carbon atau Metallic Avio Gray/Fluo Yellow/Dark Metallic Matt Grey/Matt Carbon.
No Comment