Nissan Almera Masuk Pasaran Thailand – Harga dari RM68k
Thailand menjadi negara pertama di rantau Asia dan Oceania untuk melancarkan Nissan Almera serba baharu, yang kini hadir dengan reka bentuk lebih segar dan enjin turbo 1.0-liter baharu.
Dikenali sebagai HRA0, enjin tersebut menjanjikan lebih kuasa berbanding enjin sebelum ini dengan output sebanyak 100 PS dan 152 Nm. Ia juga mempunyai kecekapan bahan api lebih baik iaitu 23.3 km setiap liter.
Dari segi ukuran, Almera baharu adalah lebih rendah, lebar dan panjang berbanding model terdahulu. Ia menampilkan bahasa reka bentuk Emotional Geometry dengan elemen-elemen utama seperti jeriji V-Motion, lampu berbentuk boomerang dan efek bumbung terapung.
Ruang dalaman Almera juga direka semula dengan panel instrumen, skrin infotainmen, stereng dan tempat duduk baharu. Model ini tampil dengan sistem Nissan Connect yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran lapan inci.
Dari segi keselamatan, Nissan melengkapkan sedan segmen B-nya dengan ciri-ciri canggih seperti Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.
Dengan empat kamera yang ditempatkan di bahagian hadapan, sisi dan belakang kereta, Almera turut menawarkan ciri Intelligent Around View Monitor dan Moving Object Detection.
Bagi pasaran Thailand, Almera ditawarkan dalam lima varian iaitu S, E, EL V dan VL, dengan enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Storm White, Black Star, Gun Metallic dan Brilliant Silver. Harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:
- S: 499,000 THB (RM68,486)
- E: 509,000 THB (RM69,859)
- EL: 559,000 THB (RM76,721)
- V: 599,000 THB (RM82,211)
- VL: 639,000 THB (RM87,701)
No Comment