Pandu Uji – Porsche Macan Premium Package
Anda mungkin tidak pernah menjangkakan bahawa Porsche, sebuah jenama yang terkenal dengan kereta sport berprestasi tinggi seperti 911, akan mempunyai kenderaan utiliti sukan (SUV) sebagai sebahagian daripada barisan modelnya.
Namun, inilah realitinya. Perkembangan pasaran SUV menyebabkan banyak pengeluar mula beralih arah dan jenama dari Stuttgart yang bernaung di bawah Volkswagen AG ini tidak terkecuali.
Sebenarnya sudah lama Porsche menawarkan SUV kepada pelanggan mereka iaitu sejak 17 tahun lalu dengan Cayenne. Selepas 12 tahun iaitu pada 2014, barulah jenama itu memperkenalkan model SUV keduanya yang dikenali sebagai Macan. Model kompak ini kemudiannya menerima facelift pada tahun lalu.
Bagi pasaran Malaysia, Macan facelift didatangkan sekali dengan Premium Package dan ditawarkan pada harga bermula RM455,000. Ini adalah tawaran yang baik dari Sime Darby Auto Performance (SDAP) kerana anda mendapat sembilan ciri tambahan bernilai RM26,739 tanpa perlu membayar sebarang kos tambahan.
Berikut adalah ciri-ciri yang disertakan dalam Premium Package:
- tempat duduk boleh laras 14-cara dengan fungsi memori untuk pemandu dan penumpang hadapan (RM7,067)
- pakej Comfort Lighting (RM1,480)
- Power Steering Plus (RM1,253)
- Park Assist termasuk kamera undur (RM6,387)
- cermin pandang belakang ‘auto dimming’ (RM1,714)
- sistem audio BOSE (RM5,644)
- penghadang cahaya matahari bagi tingkap belakang (RM1,197)
- Apple CarPlay dengan ciri arahan suara Siri (RM1,423)
- karpet lantai (RM574)
Selain sembilan ciri di atas, Macan boleh dipesan dengan pelbagai lagi kelengkapan tambahan sama ada untuk luaran, dalaman, transmisi atau casis. Unit yang anda lihat ini dilengkapi dengan ciri tambahan bernilai RM78,851, menjadikan harga sebenarnya RM533,581.
Penulis sempat memandu uji model ini tempoh hari. Walaupun hanya untuk beberapa jam, ia sudah cukup untuk merasai tahap prestasi dan kemewahan yang membuatkan ia begitu popular.
Bermula dari luaran, penampilan Macan yang sudah sedia tampan diperkemaskan lagi dengan rekaan lampu baharu dan bampar belakang dan hadapan yang lebih sporty. Kehadiran lampu LED baharu di belakang dengan jalur LED di sepanjang tailgate bukan sahaja membuatkan ia kelihatan lebih lebar, malah memberikannya imej yang tidak jauh berbeza dengan 911 generasi 992.
Unit yang kami sempat pandu uji baru-baru ini hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan termasuk lampu LED empat poin dengan Porsche Dynamic Light System Plus (PDLS Plus), kemasan aluminium di sekeliling tingkap serta rel bumbung aluminium.
Macan didatangkan standard dengan rim 18 inci namun unit pandu uji ini memakai rim Sport Classic berukuran 21 inci yang bernilai RM22,773. Bukan itu sahaja, warna Volcano Grey Metallic ini juga merupakan item pilihan yang boleh dipesan pada harga RM4,277.
Di dalam, perubahan utama yang dibawakan oleh model facelift adalah terdapat pada papan pemuka, di mana skrin sentuh berukuran 10.9 inci menggantikan skrin 7.2 inci pada model terdahulu. Menerusi skrin ini, pemandu boleh mengakses sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM).
Selain itu, segala kelengkapan yang anda lihat di sini adalah ciri-ciri tambahan yang boleh dipilih sendiri oleh pelanggan ketika membuat pesanan. Ini termasuk upholsteri kulit berwarna merah dan hitam, tali pinggang keledar dan dail instrumen berwarna merah Red Garnet, kemasan hitam piano serta cetakan logo Porsche pada perehat kepala.
Turut disertakan adalah pakej Sport Chrono yang merangkumi jam henti di atas papan pemuka dan suis penukar mod pemanduan pada roda stereng.
Sebagai varian asas, Macan hadir dengan enjin turbo berkapasiti 2.0-liter empat silinder yang menjana 252 hp dan 370 Nm. Dengan transmisi automatik dwi-klac PDK tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke keempat-empat roda, SUV ini memerlukan 6.5 saat untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.
Di atas kertas, 252 hp dan 370 Nm memang tampak lebih dari cukup untuk sebuah SUV kompak seperti Macan. Tetapi dalam mod Normal, penulis boleh merasakan dengan jelas yang pendikit dan enjin tidak memberikan tindak balas seperti yang dikehendaki. Jangan salah sangka kerana Macan masih dikategorikan sebagai SUV yang laju, cuma ia mengambil sedikit masa untuk menunjukkan kemampuannya.
Namun, sebaik sahaja suis mod pemanduan ditukar kepada Sport, jentera ini bertukar menjadi lebih agresif dengan respon enjin dan pendikit yang lebih pantas. Bukan itu sahaja, transmisi juga dirasakan lebih cekap di dalam mod ini dengan penukaran gear yang lancar dan pantas dalam mod manual.
Mod Sport+ membawa prestasi ke tahap yang lebih tinggi tetapi bagi penulis, ia kurang sesuai untuk pemanduan harian. Tetapi apabila berada di lebuh raya, penulis tidak terlepas untuk mengaktifkan mod ini bagi merasai sendiri kehebatan enjin tersebut. Ternyata, Macan mampu mengendalikannya.
Bercakap tentang pengendalian, Macan tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan selekoh-selekoh tajam. Casis talaan Porsche ini terbukti mampu mengurangkan efek olengan badan atau ‘body roll’ ketika memasuki selekoh pada kelajuan yang tinggi. Kehadiran Power Steering Plus yang berfungsi untuk menyelaraskan respon stereng berdasarkan kelajuan kenderaan juga banyak membantu.
Selain itu, gandingan Porsche Traction Management (PTM) serta tayar berukuran 265/40 di hadapan dan 295/35 di belakang ternyata berkesan untuk memberikan Macan tahap cengkaman yang diperlukan. Pendek kata, model ini mampu menjadikan anda seorang pemandu yang lebih cekap dan yakin.
Casis yang sporty dan tegar tidak begitu menjejaskan aspek keselesaan Macan yang dilihat cukup memuaskan dengan kemampuan untuk menyerap hentakan dengan baik. Tetapi harus diingat bahawa faktor utama yang menyumbang kepada keselesaan ini adalah sistem suspensi udara dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang berharga RM12,598.
Walaupun hadir sebagai varian ‘entry level’, Macan tidak boleh dipandang rendah kerana kuasa dan dinamik yang ditawarkan cukup untuk memberikan kepuasan kepada pemandu. Bukan itu sahaja, sebagai sebuah SUV, ia juga cukup selesa dan praktikal untuk kegunaan harian mereka yang berkeluarga.
Spesifikasi Porsche Macan Premium Package
Enjin: petrol, turbo empat silinder
Kapasiti: 2.0-liter
Kuasa: 252 PS
Tork: 370 Nm
Transmisi: automatik PDK tujuh kelajuan
0-100 km/j: 6.5 saat (6.7 saat tanpa pakej Sport Chrono)
Kelajuan maksimum: 225 km/j
Harga: dari RM455,000
No Comment