Perodua Axia STYLE Tembusi Pasaran Sri Lanka
Setelah hampir dua bulan dilancarkan di Malaysia, Perodua Axia STYLE membuat penampilan pertamanya di Sri Lanka menerusi Pameran Motor Colombo Seylan yang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall dari 8 hingga 10 November.
Pengedar rasmi Perodua di negara itu iaitu Unimo Enterprises mengambil peluang untuk membuka tempahan model tersebut di pameran terbabit. Penghantaran dijangka bermula awal tahun hadapan.
Varian Axia 2019 yang berunsurkan crossover itu ditawarkan dengan harga Rs3.895 juta (kira-kira RM89,000) di negara kepulauan tersebut.
“Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015. Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.
Direka untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif, Axia STYLE didatangkan dengan bumper lebih lasak berserta skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15 inci.
Di Malaysia, jualan Axia STYLE telah melebihi 2,000 unit sejak pada September lalu, manakala Axia 2019 secara keseluruhan telah mencatat jualan sebanyak 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.
No Comment