Perodua Kembali Menyumbang Ke Hospital Selayang Sekali Lagi
Khidmat masyarakat terkini Perodua. Mereka sekali lagi ke wad pediatrik Hospital Selayang menyumbang peralatan perubatan dan mengagihkan hadiah kepada para pesakit dan kakitangan.
Ruang bermain kanak-kanak juga telah diperbaharui. Mereka membersihkan ruang tersebut, mengecat kabinet, menggantikan kertas dinding dan siling, memasang TV pintar dan alas lantai baharu serta membeli buku dan mainan baharu.
Mereka turut menyumbang kepada wad pediatrik sebuah pulse oximeter (peralatan yang menyukat jumlah oksigen di dalam badan) dan tiga buah skrin mudah alih. Syarikat itu juga memberi paket wang dan beg tali yang mengandungi alat tulis kepada kira-kira 100 pesakit kanak-kanak.
“Usaha kami tidak berhenti di sini – pelbagai aktiviti telah kami rancang untuk kanak-kanak di sini pada tahun-tahun akan datang, antaranya aktiviti bercerita, tayangan filem, permainan teka-teki dan origami. Kami juga ingin mengadakan program menderma buku untuk mengisi pusat sumber mini di sini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Pada Februari yang lalu, Perodua telah menyumbang tiga buah pulse oximeter dan enam buah skrin mudah alih kepada wad pediatrik Hospital Selayang, serta mengagihkan paket wang dan beg hadiah kepada para pesakit dan kakitangan.
No Comment