Shell Rimula Rai Pelanggan di Ultimate Stepover Barcelona
Shell Rimula Ultimate Stopover 2019 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini menyaksikan penyertaan 14 pelanggan bertuah Shell Rimula dari Malaysia. Mereka menyertai 180 peserta lain dari 18 buah negara.
Kunjungan selama 5 hari 4 malam yang ditanggung sepenuhnya ini memberi peluang kepada peserta meninjau dengan lebih mendalam lagi dunia Shell Rimula yang penuh dengan inovasi, selain menikmati kemeriahan bandaraya Sepanyol yang terkenal dengan seni, kebudayaan, makanan dan bola sepak ini.
Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan menyatakan bahawa acara tersebut membolehkan syarikat ini menunjukkan kemajuan teknologinya dalam bidang minyak enjin diesel tugas berat menerusi persekitaran yang unik, santai dan menyeronokkan, yang turut disertakan dengan aktiviti berasaskan pengalaman.
Sementara itu, salah seorang peserta dari Malaysia, Steven Wong berkata, “Saya kagum dengan sesi teknologi yang diadakan kerana ia sangat informatif dan berguna. Bagi saya, lapan langkah untuk mengurangkan bahan cemar sebagaimana yang disyorkan oleh Dr Wolfgang Warnecke, Ketua Saintis Mobiliti di Shell, adalah relevan dan praktikal kerana ia membantu mengurangkan penggunaan bahan api.”
Peserta Shell Rimula Ultimate Stopover Barcelona mempelajari bagaimana penghasilan rangkaian kuasa baharu dan penggunaan teknologi baharu yang kian meningkat seperti analitik data, Internet benda (IoT) dan telematik akan turut mengubah bagaimana kenderaan disenggarakan.
Sebelum ini, penyenggaraan dijalankan mengikut jadual tertentu yang ditetapkan oleh min masa antara kerosakan. Kenderaan perlu dihentikan perjalanannya semasa segala subsistem diperiksa dan diperbaiki sebagaimana perlu.
Hari ini, dengan sensor yang disambung kepada setiap komponen penting kenderaan, sistem fleet menyediakan pemantauan yang berterusan dan memaklumkan kepada jurutera apabila terdapat komponen tertentu yang memerlukan perhatian.
Walau bagaimanapun, pengurus fleet masih perlu mengemaskinikan pengetahuan mereka, terutamanya berkenaan dengan pelincir yang sesuai untuk setiap rangkaian kuasa, persekitaran pengendalian dan penggunaan.
No Comment