Toyota GR Supra 3000GT Concept Bawa DNA Vintaj ke SEMA
Seperti yang dijanjikan, Toyota memperkenalkan GR Supra 3000GT Concept pada pameran Specialty Equipment Market Association (SEMA) 2019 di Las Vegas.
Dibangunkan oleh divisyen Toyota Customizing & Development (TCD), jentera ini diinspirasikan oleh Supra TRD 3000GT yang diperkenalkan 25 tahun lalu sebagai sambutan kejayaan Supra dalam kejohanan All-Japan Grand Touring Car Championship.
Seperti yang anda boleh lihat, GR Supra 3000GT Concept memakai kit badan yang lebih agresif yang merangkumi splitter hadapan serta rekaan bampar baharu dengan bukaan udara yang lebih besar.
Hudnya mempunyai lubang udara berbentuk segi tiga manakala pada skirt sisinya pula terdapat sirip yang terletak di belakang tayar hadapan dan di hadapan tayar belakang.
Di belakang, jentera ini tampil dengan spoiler yang lebih besar manakala diffusernya menjadi perumah kepada sistem ekzos custom dari HKS.
Melengkapkan penampilan jentera ini adalah pelekat badan berwarna perak dan emas, serta rim aluminium tempaan berukuran 19 inci keluaran TWS Motorsport yang dibalut tayar Toyo Proxes R888R.
Bagaimanapun, penambahbaikan pada ruang kabin tidak begitu menyeluruh seperti pada bahagian luaran. Ia hanya melibatkan kerusi perlumbaan Bride Xero CS dan sistem audio Pioneer.
GR Supra 3000GT Concept kekal dengan enjin turbo 3.0-liter enam silinder standard yang menghasilkan 335 hp dan 495 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang.
Aspek pengendalian dipertingkatkan menerusi penggunaan suspensi coilover TEIN Street Advance Z. Kuasa brek pula dibekalkan oleh angkup Brembo GT-S Monobloc.
No Comment