Barisan Kenderaan Mitsubishi di Tokyo Auto Salon 2020
Selain Subaru, Daihatsu dan Suzuki, Mitsubishi akan turut menggegarkan pameran Tokyo Auto Salon 2020 yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Januari nanti.
Berikut adalah beberapa kenderaan konsep yang akan dibawa oleh jenama itu:
Delica D:5 All Blacks
Digunakan sebagai kenderaan sokongan untuk pasukan ragbi New Zealand ketika Piala Dunia Ragbi 2019, van ini tampil dalam warna serba hitam yang merupakan warna tradisi pasukan itu. Ia memakai rim Advan Racing RZII dan tayar ‘all-terrain’ Yokohama Geolandar X-AT G016.
Delica D:5 Eye-Kyu
Berbeza dengan All Blacks, Eye-Kyu hadir dengan rekaan klasik yang boleh dilihat menerusi jeriji, lampu kabus bulat, rim MLJ Daytona SS serta warna hijau muda ala tentera. Ia diinspirasikan oleh Terry Ito, pengarah dan penerbit terkenal.
eK Cross Wild Beast
Dengan warna kuning dan hitam, grafik ‘X’, rocker panel, rak bumbung dan tayar ‘all-terrain’, model konsep ini jelas direka untuk aktiviti lasak.
Eclipse Cross Wild Explorer
Model ini menampilkan spesifikasi ‘overland’ dengan suspensi Air Force Japan yang boleh ditinggikan dan direndahkan secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon pintar.
Outlander PHEV NERV
NERV merupakan nama organisasi yang bertempur dengan makhluk asing dalam siri anime Neon Genesis Evangelion. Ia dilengkapi dengan antena satelit KYMETA u7 yang boleh menjejak isyarat dari Sky Perfect JSAT Corporation, iaitu syarikat TV satelit dan Internet dari Jepun. Enjinnya boleh digunakan sebagai sumber kuasa dalam situasi kecemasan.
No Comment