Berita Auto

Ford Ranger XLT 2.2L Edisi Khas – RM120,888

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ini mengumumkan pelancaran Ford Ranger XLT 2.2L Edisi Khas yang ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Boleh didapati dalam warna Absolute Black dan Arctic White, model ini hadir dengan dapra lebar, kamera undur serta penutup tonneau yang berfungsi.

Pelekat bercorak geometri pada kiri dan kanan badan pula melengkapkan imej lasak model edisi terhad ini.

Di dalam, sistem infotainmen dinaik taraf dengan menggunakan skrin sentuh berukuran 9 inci, lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto yang membolehkan pelanggan menggunakan aplikasi seperti Spotify, Waze, YouTube dan Google Chrome melalui sambungan ‘hotspot’.

Seperti versi biasa, Ranger XLT 2.2L Edisi Khas tampil dengan enjin Duratorq 2.2-liter yang menghasilkan 160 PS dan 385 Nm. Enjin turbodiesel tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Selain itu, ia turut hadir dengan kelengkapan seperti 4X4 Shift-On-The-Fly, sistem stereng berkuasa, pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan dan lampu nyalaan siang.

Sistem keselamatan pula merangkumi dua beg udara, Hil Descent Control, Hill Launch Assist, ABS, Emergency Brake Assist, Electronic Brake Force Distribution, Electronic Stability Control, Traction Control, Rollover Mitigation, Trailer Sway Control, Adaptive Load Control dan cagak Isofix.

Dijual pada harga (atas jalan, tanpa insuran) RM120,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM126,388 untuk Sabah dan Sarawak, Ranger XLT 2.2L Edisi Khas boleh didapati di semua bilik pameran Ford di Semenanjung Malaysia.

Untuk Sabah dan Sarawak, modelini akan mula dipamerkan pada minggu ketiga bulan Disember.

Ia didatangkan dengan pakej waranti selama tiga tahun atau sehingga 100,000 km, yang mana terdahulu.

Previous post

Perodua Tweckbot Singgah di Kota Kinabalu Sempena Krismas

Next post

DSFGG Vidcast S01E11 Cuba Try BMW 520i Luxury

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *