Mercedes-Benz GLA Generasi Kedua Didedahkan
Barisan model kompak Mercedes-Benz diperkembangkan lagi dengan kehadiran model kelapan iaitu GLA generasi kedua.
Seperti yang anda boleh lihat, GLA kini menampilkan bentuk badan yang lebih mirip kepada SUV dan bukannya hatchback tinggi seperti model generasi pertama.
Apabila diterjemahkan ke dalam ukuran, model baharu ini lebih tinggi (+104 mm) dan lebih lebar (+30 mm), manakala jarak rodanya juga lebih panjang (+30 mm).
Walaupun mempunyai badan yang lebih pendek (-14 mm), GLA menawarkan ruang kabin yang lebih luas terutamanya pada ruang kepala penumpang hadapan dan ruang kaki penumpang belakang. Kapasiti but juga lebih besar iaitu 435 liter.
Menurut Mercedes, kedudukan pemandu dan penumpang hadapan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan A-Class (+140 mm) dan B-Class (+50 mm). Tempat duduk belakang boleh dicondongkan dan dilaras, begitu juga dengna lantai but.
GLA ditawarkan dalam varian GLA 200 yang dikuasakan oleh enjin turbo 1.33-liter yang menjana 163 hp dan 250 Nm. Dengan transmisi automatik 7G-DCT, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 8.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Bagi mereka yang mahukan lebih oomph, GLA juga boleh didapati dalam varian AMG GLA 35 yang mempunyai 306 hp dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder.
Gabungan transmisi AMG Speedshift DCT 8G dan 4Matic membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j.
Seperti model Mercedes-Benz semasa yang lain, GLA kini dilengkapi dengan sistem infotainmen MBUX. Sistem ini dipadankan dengan tiga pilihan paparan yang diberi bergantung kepada varian.
Dari segi keselamatan, terdapat pakej bantuan pemandu yang merangkumi pelbagai ciri-ciri keselamatan aktif. Antaranya adalah Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steer Assist, Active Speed Limit Assist, Traffic Sign Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist, Active Brake Assist dan Pre-Safe Plus.
Turut disertakan adalah Energizing Comfort Control, Energizing Seat Kinetics dan Car Wash Function. Model yang dilengkapi dengan 4Matic juga hadir dengan Off-Road Engineering Package.
No Comment