Penyerahan Nissan GT-R50 Italdesign Bermula Lewat 2020
Masih ingat Nissan GT-R50? Model edisi terhad yang dihasilkan dengan kerjasama Italdesign itu sah akan diserahkan kepada pelanggan mulai akhir tahun hadapan.
Namun sebelum itu, unit pertama yang dihasilkan untuk pelanggan akan dipamerkan di Geneva Motor Show pada bulan Mac nanti.
Menggunakan GT-R NISMO sebagai asas, GT-R50 tampil dengan rekaan luaran unik yang diilhamkan oleh studio rekaan terkenal dari Itali itu.
Keistimewaan jentera ini bukan sekadar terletak pada rekaannya sahaja. Di bawah hud, enjin twin-turbo 3.8-liter V6 model ini menjana 720 PS dan 780 Nm hasil penggunaan dua unit pengecas turbo GT3, intercooler besar, serta bahagian-bahagian yang diperkuatkan seperti aci engkol dan omboh.
Bukan itu sahaja, transmisi dan differential turut diperkukuhkan untuk menampung kuasa yang lebih tinggi. Ia turut mempunyai sistem suspensi Bilstein DampTronic dan brek Brembo, serta tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35 R21 di hadapan dan 285/30 R21 di belakang.
Seperti yang dicadangkan oleh namanya, GT-R50 ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 50 unit sahaja. Pelanggan yang berminat masih berpeluang mendapatkannya kerana terdapat beberapa slot tempahan yang masih terbuka.
Namun untuk memiliki model yang eksklusif ini, pelanggan perlu mengeluarkan belanjan yang agak besar iaitu bermula 990,000 Euro (RM4.57 juta) sebelum cukai. Anda sanggup?
No Comment