Berita Auto

Porsche Macan GTS Kembali Dengan Kuasa Lebih Tinggi

Kehadiran Porsche Macan GTS yang diposisikan antara varian S dan Turbo bermakna barisan model Macan kini telah lengkap.

Tersimpan di bawah hud varian ini adalah enjin twin-turbo 2.9-liter V6 yang menjana 375 hp dan 519 Nm, naik 15 hp dan 19 Nm berbanding GTS sebelum ini.

Dengan transmisi dwi-klac PDK dan sistem pacuan semua roda, ia mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.7 saat jika dilengkapi dengan pakej Sport Chrono. Kelajuan maksimum adalah 260 km/j.

Dari segi kelengkapan, Macan GTS mendapat sistem gantungan udara, sistem ekzos sport dan sistem brek standard yang merangkumi cakera berukuran 360 mm di hadapan dan 330 mm di belakang.

Pelanggan bagaimanapun boleh mendapatkan Porsche Surface Coated Brake (PSCB) atau Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) untuk kuasa membrek yang lebih kuat.

Macan GTS hadir dengan pakej Sport Design serta elemen-elemen berwarna hitam yang merupakan ‘trademark’ bagi mana-mana varian GTS. Lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan rim RS Spyder Design berukuran 20 inci adalah standard.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport dengan pelarasan lapan cara dan stereng multifungsi, selain kemasan aluminium pada papan pemuka dan material Alcantara pada tempat duduk, konsol tengah dan panel pintu.

Turut disertakan adalah sistem audio Bose dan pengecasan wayarles. Park Assist, pemanas cermin hadapan dan ionizer ditawarkan secara pilihan.

Previous post

Flat-4 Tokyo - Kedai Alat-Ganti Air-Cooled VW dan Pemulihan Terbaik

Next post

PDRM Tawar Diskaun Sehingga 50% untuk Saman Hari Natal Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *