Pelumba Wanita Cipta Sejarah
Rekod terbaik Proton R3 untuk pasukan pelumba wanita di Sepang 1000km.
Pasukan terakhir pelumba R3 yang terdiri daripada tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna, mendapat tempat ketujuh, meskipun bermula di garisan ke-26, merekodkan pencapaian terbaik daripada barisan pelumba wanita.
Berbeza dengan pemandu R3 yang lain, ketiga-tiga pemandu wanita itu tidak mempunyai pengalaman bersaing bersama di dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS). Faye dan Nurul dipilih melalui inisiatif pencarian pasukan pelumba wanita manakala Leona pula adalah pemandu profesional yang pernah bersaing di MCS. Acara S1K 2019 ini memperlihatkan mereka berkongsi memandu kereta yang sama buat kali pertama.
Meskipun mereka baru sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan, menetapkan masa yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten. Walau bagaimanapun, terdapat masalah teknikal pada sesi kelayakan, yang memerlukan mereka bermula di belakang garisan kelas M-Pengeluaran.
Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka di mana ketiga-tiga mereka telah memandu dengan penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar. Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.
“Secara jujur, sekiranya kami diberi peluang sekali lagi, saya rasa kami mampu untuk berdiri di atas podium,” kata Faye Kusairi.
Walaupun baru sahaja berada di dalam barisan kereta R3, Proton Saga 2019 telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi kereta litar yang pantas. Saga terbaharu ini telah dipertingkat sepenuhnya dan dengan tempoh masa yang sangat singkat, hasilnya sangat mengagumkan.
No Comment