Volkswagen Akan Lancar 34 Model Baharu Tahun Hadapan
2019 merupakan tahun yang sibuk buat Volkswagen dengan pelancaran beberapa model penting seperti Golf generasi kelapan, ID.3, T-Cross, Teramont, T-Roc R dan T-Roc Cabrio.
Tetapi jika anda fikir bahawa syarikat itu akan ‘berehat’ sepanjang 2020, anda silap kerana ia telah mengumumkan yang ia akan melancarkan 34 model baharu pada tahun hadapan.
Daripada 34 model tersebut, 12 adalah SUV, segmen yang paling rancak ketika ini, manakala lapan adalah kenderaan elektrik atau hibrid.
Ralf Brandstätter, ketua pegawai operasi Volkswagen berkata bahawa syarikat itu akan membuat pelaburan berjumlah €19 billion untuk teknologi masa hadapan sehingga 2024, dengan €11 billion daripadanya untuk pembangunan e-mobiliti.
Selari dengan hasrat itu, Volkswagen akan melancarkan kereta elektrik kompak ID.3 pada musim panas tahun hadapan, diikuti dengan SUV elektrik pertama mereka iaitu ID.Next.
Selain itu, selari dengan komitmennya pada matlamat iklim Paris, Volkswagen juga merancang untuk mencapai keseimbangan karbon-neutral menjelang 2050, manakala pelepasan CO2 dikurangkan sebanyak separuh menjelang 2025.
Bukan itu sahaja, Volkswagen juga akan mengembangkan kepakaran perisian mereka menerusi organisasi Car.Software yang akan beroperasi sebagai unit perniagaan bebas pada Januari tahun hadapan.
Menjelang 2025, pembangunan perisian kereta dan perkhidmatan berkaitan kenderaan syarikat itu dijangka akan meningkat dari 10 peratus hari ini kepada sekurang-kurangnya 60 peratus.
No Comment