Bentley Continental GT Ini Dibangunkan Untuk Perlumbaan Ais
Perlumbaan ais 2020 GP Ice Race di Zell am See, Austria pada Februari ini bakal menyaksikan Bentley dengan jentera Continental GT yang disiapkan khas untuk perlumbaan tersebut.
Dari segi penampilan, kereta ini memakai livery yang diinspirasikan oleh Continental GT yang memenangi perlumbaan Pikes Peak pada tahun lalu. Ia juga dilengkapi dengan rak ski, bar lampu LED serta tayar Pirelli Scorpion berpaku.
Apa yang tidak disentuh adalah enjin, bermakna jentera ini masih mempunyai 635 PS dan 900 Nm yang dibekalkan oleh enjin 6.0-liter W12 yang asal.
Menurut Bentley, kuasa tersebut cukup untuk memacu kereta mewah itu dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat, dengan kelajuan maksimum yang mencecah 333 km/j.
Bagaimanapun, Continental GT ini bukanlah 100 peratus standard. Ia dilengkapi dengan sistem ekzos Akrapovic untuk bunyi yang lebih menggerunkan, manakala sistem suspensinya dinaikkan sebanyak 15 mm bagi memastikan ia boleh melepasi permukaan bersalji.
Bukan itu sahaja, Bentley turut memasang sangkar keselamatan, sistem pemadam api, serta kerusi lumba dengan abah-abah.
Jentera ini akan dikemudi oleh Catie Munnings yang merupakan pemenang FIA European Rally Championship Ladies Trophy dan juga anak kepada bekas pelumba rali Chris Munnings.
No Comment