BMW X1 sDrive20i M Sport CKD Dilancarkan
BMW Malaysia memperkembangkan barisan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) mereka dengan pelancaran model terbaru iaitu X1 sDrive20i M Sport.
Menyerlahkan lagi imej SUV ini adalah pakej M Aerodynamics yang merangkumi paip ekzos yang lebih besar (daripada 70 mm kepada 90 mm) serta set roda aloi ringan M 18 inci dengan penggayaan ‘double-spoke’ 570 M. Penggunaan sistem suspensi M Sport mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm.
Di dalam, kemasan berwarna Aluminium dipadankan dengan perincian krom mutiara bagi menghasilkan suasana lebih mewah. Stereng M yang dibalut kulit pula memberikan keterujaan kepada pemandu.
Selain itu, model ini juga hadir dengan Lights Package yang merangkumi Welcome Light Carpet yang berfungsi untuk memancarkan karakter “X1” dua tona ke atas lantai apabila pintu dibuka.
Elemen utama di dalam kabin merupakan skrin sentuh berukuran 8.8 inci yang menampilkan fungsi-fungsi hiburan dan navigasi. Ia boleh dikawal menerusi arahan suara atau tombol iDrive pada konsol tengah.
X1 sDrive20i M Sport dikuasakan oleh enjin 2.0-liter yang digandingkan dengan transmisi Steptronic Sport dwi-klac tujuh kelajuan. Dengan 192 hp dan 280 Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 224 km/j.
Model ini boleh didapati dalam empat warna iaitu Misano Blue, Black Sapphire, Alpine White dan Mineral Grey, kesemuanya dengan upholsteri Black Leather Dakota.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans termasuk Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) adalah RM233,800.
No Comment