Honda Civic Type R Facelift Diperkenalkan
Walaupun dikelilingi pelbagai model konsep dan prototaip yang menarik, Honda Civic Type R versi facelift 2020 sedikit sebanyak berjaya mencuri perhatian pengunjung di Tokyo Auto Salon 2020.
Dari segi rekaan, perubahan yang dibawa oleh hot hatch ini tidak begitu menonjol. Selain sirip kecil pada bampar hadapan dan belakang, bukaan jeriji hadapannya juga sedikit lebih besar untuk penyejukan enjin yang lebih cepat.
Bukan itu sahaja, Civic Type R juga akan ditawarkan dalam warna eksklusif yang dikenali sebagai Boost Blue mulai tahun ini.
Di dalam, Honda menyertakan roda stereng dengan balutan Alcantara dan tombol gear baharu dengan lontaran gear yang lebih pendek untuk pemanduan yang lebih mengujakan.
Model facelift ini juga mendapat kawalan bunyi aktif (Active Sound Control) yang ditugaskan untuk mengubahsuai bunyi enjin di dalam kabin mengikut mod yang dipilih iaitu Comfort, Sport atau +R.
Model pasaran Amerika Syarikat didatangkan dengan ciri keselamatan dan teknologi bantuan pemandu Honda Sensing secara standard.
Walaupun enjin tidak disentuh, Honda menjanjikan pemanduan yang lebih mengujakan menerusi penggunaan ‘bushing’ belakang yang lebih keras, modifikasi pada gandar hadapan serta cakera brek ‘two piece’ yang dipadankan dengan pad brek rekaan baharu.
Bukan itu sahaja, peredam yang dinaik taraf pula memastikan pemandu mencapai keseimbangan keselesaan dalam pemanduan seharian.
Seperti sebelum ini, enjin VTEC Turbo 2.0-liter empat silinder yang tersimpan di bawah hud menghasilkan kuasa sebanyak 306 hp dan 400 Nm. Transmisi manual enam kelajuan dan Limited Slip Differential memastikan kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan dengan efektif.
No Comment