Huracan EVO RWD Tawaran Terbaru Lamborghini
Jentera pacuan semua roda (AWD) menjanjikan pengendalian yang lebih stabil di selekoh, namun ia masih tidak dapat menandingi kelincahan yang ditawarkan oleh pacuan roda belakang (RWD).
Untuk itu, Lamborghini memperkenalkan model terbaru dalam barisannya iaitu Huracan EVO RWD. Dengan enjin ‘naturally aspirated’ 5.2-liter V10 yang menyalurkan 610 hp dan 560 Nm ke roda belakang, ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
Bagaimanapun, Lamborghini berkata bahawa jentera ini dibangunkan khas untuk mereka yang menghargai keseronokan memandu dan bukannya untuk prestasi pecutan di laluan lurus semata-mata.
Buktinya, Huracan EVO RWD dilengkapi dengan Performance Traction Control System (P-TCS) baharu yang ditugaskan untuk menyalurkan tork ke roda belakang walaupun ketika kereta sedang dalam keadaan ‘drift’. Ini dikatakan dapat menghasilkan cengkaman ketika hendak keluar dari selekoh.
Pemandu boleh mengawal tahap campur tangan P-TCS menerusi butang ANIMA (Adaptive Network Intelligent Management) yang menawarkan mod Strada, Sport dan Corsa.
Selain itu, ciri Lamborghini Dynamic Steering (LDS) yang terdapat pada model ini juga ditala khas untuk pacuan roda belakang. Rim Kari berukuran 19 inci yang dibalut dengan tayar Pirelli P Zero adalah standard, namun pelanggan boleh mendapatkan rim 20 inci. Turut ditawarkan adalah brek karbon seramik.
Dari segi rekaan, Huracan EVO RWD mendapat rekaan bampar depan dan belakang, serta diffuser yang tersendiri. Di dalam, terdapat skrin sentuh berukuran 8.4 inci dengan beberapa ciri keterhubungan seperti panggilan telefon, Internet dan Apple CarPlay.
Huracan EVO RWD bakal memasuki pasaran bermula musim bunga tahun ini dengan harga EUR 159,443 (RM731,447).
No Comment